Berita

PRN16: Dr Hakim tekad bangunkan Rumah Harapan, utamakan anak jati Sendayan miliki rumah mampu milik

RANTAU: Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau, Dr. Azizul Hakim Mahdi bertekad menjadikan Bandar Sri Sendayan sebagai kawasan yang lebih mesra didiami menerusi penyediaan rumah mampu milik, penambahbaikan sistem pengangkutan dan pembinaan lebih banyak sekolah sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN16) Negeri Sembilan, pada 1 Ogos ini.

Beliau berkata, keutamaan akan diberikan kepada anak jati Sendayan, khususnya generasi kedua, ketiga dan keempat Felda Sendayan yang berdepan kesukaran memiliki rumah di kawasan tersebut.

“Banyak pembangunan berlaku di Bandar Sri Sendayan, tetapi hakikatnya ramai anak-anak Felda Sendayan sendiri tidak mampu membeli rumah di sini.

“Saya telah mengenal pasti beberapa lokasi untuk dibangunkan projek Rumah Harapan, iaitu rumah mampu milik berharga antara RM50,000 hingga RM150,000 dengan keutamaan diberikan kepada anak jati Sendayan,” kata Dr Hakim.

Menurut beliau, dianggarkan terdapat kira-kira 500 keluarga daripada generasi kedua hingga keempat Felda Sendayan yang masih belum memiliki kediaman sendiri kerana harga rumah dan kadar sewa di Bandar Sri Sendayan yang tinggi.

Katanya, kebanyakan projek perumahan di kawasan itu merupakan kediaman berpagar dan berpengawal yang menyebabkan kos pemilikan serta sewaan meningkat.

Selain isu perumahan, Dr. Hakim berkata, sistem pengangkutan awam di Bandar Sri Sendayan juga perlu dipertingkatkan sejajar dengan pertambahan jumlah penduduk.

Dr Hakim berkata, kawasan itu kini mempunyai sekitar 10,000 pengundi, namun jumlah penduduk sebenar jauh lebih ramai kerana terdapat pasangan yang masih berdaftar sebagai pengundi di negeri lain.

“Kebanyakan penduduk Bandar Sri Sendayan bekerja di Sepang, Nilai dan Lembah Klang, namun kemudahan pengangkutan awam masih lemah.

“Saya juga mendapati banyak lampu isyarat di kawasan ini masih menggunakan sistem lama.

“Jika dipilih sebagai ADUN Rantau, saya mahu memperkenalkan lampu isyarat pintar yang berfungsi mengikut kepadatan aliran trafik,” jelas Dr Hakim.

Dalam pada itu, beliau turut memberi perhatian terhadap keperluan pendidikan susulan pertambahan penduduk yang pesat di Bandar Sri Sendayan.

Menurutnya, berdasarkan data antara tahun 2018 hingga 2023, kawasan tersebut merekodkan pertambahan kira-kira 12,000 penduduk, namun jumlah sekolah sedia ada masih tidak mencukupi.

“Saya akan membawa perkara ini kepada Kementerian Pendidikan kerana saya tidak mahu ada anak-anak tercicir atau terpaksa bersekolah jauh dari rumah hanya kerana kekurangan sekolah.

“Ibu bapa juga tidak sepatutnya dibebankan dengan perjalanan yang jauh setiap hari,” ujar Dr. Hakim.

Dr. Hakim berharap pengundi DUN Rantau memberikan kepercayaan kepadanya pada PRN-16 agar segala perancangan yang dirangka dapat direalisasikan demi meningkatkan kualiti hidup penduduk, khususnya di Bandar Sri Sendayan.

 

Show More

Related Articles

Back to top button