Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Linggi Bantu Kurangkan Masalah Banjir di Linggi

LINGGI: Beberapa kawasan di Linggi yang sebelum ini sering berdepan isu banjir menunjukkan perkembangan positif apabila penduduk memaklumkan keadaan semakin bertambah baik selepas pelaksanaan inisiatif Rancangan Tebatan Banjir (RTB) Sungai Linggi.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun berkata, maklum balas diterima daripada penduduk menunjukkan beberapa kawasan yang sebelum ini terjejas kini tidak lagi mengalami kejadian banjir sejak beberapa bulan kebelakangan ini.
“Alhamdulillah saya mendapat maklum balas beberapa penduduk sekitar sini telah mula tidak dinaiki air sejak beberapa bulan ini.
Ini menunjukkan kepada kita bahawa inisiatif rancangan tebatan banjir di Sungai Linggi ini penting,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ziarah kasih di Rumah Rakyat Kampung Permatang Pasir di Linggi.
Menurut Aminuddin, isu banjir di Linggi sebelum ini mendapat perhatian selepas beliau membawa perkara berkenaan ketika masih menjadi Ahli Parlimen Port Dickson.
Katanya, ketika kejadian banjir berlaku di Pekan Linggi, beliau mengambil inisiatif menghubungi Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim yang ketika itu merupakan Ahli Parlimen Port Dickson bagi memohon perhatian terhadap keperluan projek tebatan banjir di kawasan berkenaan.
“Selepas solat Subuh, saya terus menghubungi Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim dan memaklumkan bahawa kita memerlukan rancangan tebatan banjir di Pasir Linggi.
“Alhamdulillah, pada tahun tersebut juga kelulusan projek berkenaan diumumkan dalam Belanjawan dan kini sedang dilaksanakan,” katanya.
Aminuddin berkata, isu banjir di Linggi perlu diberi perhatian kerana keadaan tertentu menyebabkan kawasan itu boleh menerima kesan banjir walaupun hujan berlaku di kawasan lain.
“Kadang-kadang di Seremban hujan, Linggi tak hujan tetapi banjirnya dapat di Linggi.
“Jadi ini antara yang menjadi persoalan dan perkara tersebut akan dapat kita selesaikan,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata sambutan masyarakat sepanjang beliau berkempen di DUN Linggi setakat ini amat baik namun menyerahkan keputusan sokongan kepada kebijaksanaan pengundi.
Aminuddin berkata, masyarakat mungkin mengenalinya berdasarkan peranan sebelum ini sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan dan Ahli Parlimen Port Dikcson sekali gus menyebabkan kehadirannya disambut dengan mesra.
“Mungkin mereka kenal saya sebagai Menteri Besar dan juga Ahli Parlimen.
“Sambutan juga agak baik, tetapi sama ada ia akan jadi undi atau tidak, saya sukar meramalkannya.
“Tetapi apa yang penting, saya dapat berjumpa dengan masyarakat di beberapa kawasan yang saya telah mula sejak awal,” katanya.
Menurut Aminuddin, beliau akan meneruskan pendekatan turun padang dengan bertemu pengundi di beberapa kawasan termasuk Pasir Panjang, Tanjung Agas, Sungai Raya dan Teluk Pelanduk.
“Apa yang penting hari ini, saya akan berjumpa selama yang mungkin dengan pengundi di DUN Linggi,” katanya.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Aminuddin yang sebelum ini mewakili DUN Sikamat selama empat penggal berpindah bertanding di DUN Linggi dan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Faizal Ramli.



