‘Isu Rakyat Diselesaikan, Tuduhan PH Abaikan Islam Tidak Tepat’ – Aminuddin

LINGGI: Isu tanah, permasalahan masyarakat setempat serta kebajikan rakyat antara perkara yang telah diberi perhatian dan diselesaikan kerajaan Negeri Sembilan menerusi pendekatan muafakat.
Menurut Aminuddin, penyelesaian terhadap isu-isu berkenaan menyebabkan tiada isu besar yang menghantui perjalanan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 ketika ini.
“Banyak kita selesaikan. Kita telah selesaikan perkara-perkara yang sebelum ini menjadi permasalahan rakyat daripada rangka awal seperti isu tanah dan isu masyarakat setempat.
“Sebab itu kita nampak dalam pilihan raya ini tidak timbul isu besar yang menghantui perjalanan pilihan raya untuk kami kerana kita yakin sebahagian besar telah kita selesaikan secara muafakat, secara baik dan harmoni,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program ziarah kasih di Rumah Rakyat Kampung Permatang Pasir di Linggi.
Menurut Aminuddin, sepanjang turun bertemu rakyat, perkara yang sering dibangkitkan lebih kepada isu setempat seperti masalah jalan, longkang serta gangguan monyet yang menjejaskan aktiviti penduduk kampung.
“Keluhan yang kita dengar hanya masalah jalan, masalah longkang, masalah monyet yang banyak di kampung-kampung mengganggu masyarakat untuk bercucuk tanam.
“Isu yang lain Alhamdulillah kita rasa tidak ada isu yang besar kerana kita tahu kita tidak ambil tanah rakyat, kita jaga masalah rakyat dan kita jaga masalah nelayan,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata dakwaan bahawa kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak mengutamakan kepentingan umat Islam susulan kerjasama politik bersama Democratic Action Party (DAP) merupakan satu persepsi yang tidak tepat.
Menurut Aminuddin, masyarakat boleh melihat sendiri rekod pentadbiran kerajaan negeri dalam memperkukuhkan pembangunan Islam di Negeri Sembilan.
“Mereka boleh datang ke Negeri Sembilan dan tanya orang Negeri Sembilan apa yang kita buat.
“Saya rasa kemudahan masjid kita lebih baik daripada tempat-tempat lain.
“Kerajaan negeri turut mengeluarkan peruntukan sendiri untuk membina masjid, sekolah agama serta kompleks pengajian STAM selain menaik taraf beberapa sekolah agama di Negeri Sembilan,” katanya.
Aminuddin berkata, kerajaan negeri turut memperkasakan program keagamaan serta usaha mengimarahkan institusi Islam sebagai sebahagian daripada tanggungjawab pentadbiran.
Aminuddin menegaskan kerjasama politik dalam kerajaan negeri tidak bermaksud keputusan dibuat mengikut telunjuk mana-mana pihak sebaliknya setiap tindakan adalah berdasarkan kepentingan rakyat.
“Bukan kerana DAP lebih banyak kerusi mereka beranggapan saya harus patuh kepada DAP.
“Tidak, itu tidak berlaku. Dalam pentadbiran, kita berbincang dan akhirnya ia memberi manfaat kepada masyarakat Islam.
“Tidak timbul isu menjadi boneka DAP seperti yang digembar-gemburkan,” katanya.
Menurut Aminuddin, dakwaan sedemikian hanya akan memberi kesan kepada keharmonian masyarakat sekiranya dimainkan tanpa melihat keadaan sebenar di Negeri Sembilan.



