Berita

Adat Perpatih Diperluas Melalui Pendidikan, Pastikan Warisan Negeri Sembilan Terus Dipelihara

LINGGI: Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi memperkasa program berkaitan Adat Perpatih dalam usaha memastikan warisan Negeri Sembilan itu terus difahami dan dihargai oleh generasi akan datang.

Menurut Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun, kerajaan negeri mengambil langkah memperluaskan pendidikan berkaitan Adat Perpatih sebagai usaha memperkenalkan warisan tersebut kepada masyarakat khususnya generasi muda.

“Langkah ini penting memandangkan masih terdapat masyarakat yang kurang memahami keunikan Adat Perpatih sebagai identiti dan warisan Negeri Sembilan.

“Kita telah ada subjek ini sebagai salah satu kokurikulum di sekolah-sekolah tertentu khususnya di daerah-daerah yang ada Adat Perpatih.

“Subjek itu juga kita akan bawa ke seluruh negeri. Usaha menulis tentang Adat Perpatih ini kita teruskan dan kita galakkan melalui Muzium Negeri Sembilan,” katanya kepada pemberita selepas program ziarah kasih di Kampung Permatang Pasir, Linggi.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri turut memperuntukkan RM500,000 bagi melaksanakan program-program berkaitan adat supaya masyarakat lebih memahami serta mengenali warisan Adat Perpatih.

“Kita juga mengangkat Adat Perpatih ini dengan memberikan peruntukan RM500,000 untuk mengadakan program-program adat supaya masyarakat memahami dan melihat sendiri apakah itu Adat Perpatih,” katanya.

Dalam pada itu, kerajaan negeri turut melibatkan golongan berkaitan adat bagi melihat sendiri bagaimana Adat Perpatih dilaksanakan termasuk menerusi program yang mendapat penyertaan daripada pelbagai pihak.

“Kita juga sebelum ini memanggil golongan berkaitan adat untuk melihat bagaimana Adat Perpatih ini dilaksanakan.

“Ia dihadiri ramai pihak dari seluruh negara dan mereka amat tertarik,” katanya.

Antara manifesto Pakatan Harapan (PH) bagi PRN Negeri Sembilan ke 16 ialah usaha memperkasa Adat Perpatih yang digariskan menerusi fokus Pembangunan Pelancongan dan Warisan Adat.

Antara inisiatif yang dirancang termasuk memperkasa Dana Kebudayaan dan Warisan Negeri melalui Tourism, Arts and Culture @ Negeri Sembilan (TAC@N9) menganjurkan Perpatih Fest serta menyelaras elaun ketua-ketua adat bagi memastikan warisan Negeri Sembilan terus dipelihara dan diperkasakan.

Show More

Related Articles

Back to top button