Nekad Bangunkan Linggi, Aminuddin Fokus Ekonomi, Nelayan Dan Pendidikan

LINGGI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun memberi tumpuan kepada pembangunan menyeluruh kawasan itu menerusi agenda ekonomi, kebajikan nelayan, peluang pekerjaan serta peningkatan kemudahan pendidikan sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.
Menurut Aminuddin, pembangunan di Linggi perlu dirangka secara menyeluruh agar manfaatnya dapat dirasai semua lapisan masyarakat termasuk penduduk kampung, nelayan dan golongan muda.
Menurutnya, pelaksanaan pembangunan seperti pembangunan pelabuhan pintar berasaskan kecerdasan buatan (AI) di kawasan berdekatan dijangka membuka peluang ekonomi baharu selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
“Kita telah rancang supaya pembangunan ini meliputi keseluruhan kawasan ini.
“Kita juga yakin projek AI itu akan dilaksanakan dalam tempoh tiga tahun.
“Kawasan perindustrian akan dibangunkan secara berperingkat bermula dengan 300 hektar, kemudian 500 hektar dan seterusnya sehingga keseluruhan 1,400 hektar,” katanya ketika ditemui selepas turun padang bertemu penduduk Rumah Rakyat Kampung Permatang Pasir.
Tambah Aminuddin, selain pembangunan industri, perhatian turut diberikan kepada golongan nelayan supaya mereka mempunyai sumber pendapatan yang lebih stabil pada masa hadapan.
“kita akan mencari alternatif termasuk menarik pelaburan atau membawa masuk syarikat tertentu ke kawasan Linggi bagi memperkukuhkan ekonomi setempat.
“Kita mahu memastikan pembangunan ini bukan hanya tertumpu kepada kawasan tertentu tetapi meliputi keseluruhan kawasan ini termasuk masyarakat nelayan,” katanya.
Dalam masa sama, Aminuddin turut menyentuh isu industri penternakan ayam yang menjadi antara aktiviti ekonomi penting di kawasan berkenaan.
“Isu pencemaran bau dan lalat yang timbul akibat aktiviti penternakan perlu ditangani menerusi pendekatan lebih moden.
“Kita cuba memujuk mereka supaya memodenkan penternakan.
“Mungkin kita akan bekerjasama dengan Kementerian Pertanian kepada mereka yang tidak mampu untuk berubah daripada penternakan secara konvensional kepada penternakan moden,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri turut memberi perhatian kepada aspek pendidikan di Linggi khususnya berkaitan keperluan sekolah berasrama penuh.
“Port Dickson merupakan antara daerah yang masih belum mempunyai sekolah berasrama penuh berbanding daerah lain yang mempunyai kemudahan seperti Maktab Rendah Sains MARA (MRSM).
“Kita telah merancang untuk membawa sekolah berasrama penuh di Linggi ini kerana antara daerah yang tidak mempunyai sekolah berasrama penuh adalah Port Dickson.
“Kalau tidak dapat sekolah berasrama penuh, mungkin kita boleh ubah pendekatan dengan mewujudkan sekolah negeri yang lebih baik bagi meningkatkan lagi kemajuan pendidikan di kawasan ini,” katanya.
Dalam pada itu, Aminuddin berkata beliau tidak mengambil mudah sokongan pengundi di DUN Linggi walaupun pernah mencatat kemenangan ketika bertanding sebagai Ahli Parlimen Port Dickson.
Aminuddin berkata, perbezaan jumlah pengundi dan situasi politik perlu dilihat secara berbeza kerana ketika itu beliau hanya menang dengan majoriti sekitar 400 undi di kawasan berkenaan.
“Sebagai Ahli Parlimen, perbezaan itu jangan kita samakan dengan 42,000.
“Kita kena sedar bahawa kawasan ini saya hanya menang sekitar 400 undi ketika itu.
“Jadi saya tidak ambil mudah. Saya ambil itu sebagai peringatan untuk berhati-hati dan menilai setiap potensi serta halangan yang ada,” katanya.
Aminuddin berkata, pendekatan turun padang akan diteruskan bagi mendekati seramai mungkin pengundi di kawasan berkenaan.
PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan Aminuddin yang sebelum ini mewakili DUN Sikamat selama empat penggal menyahut cabaran dengan bertanding di DUN Linggi dan berdepan calon Barisan Nasional (BN), Faizal Ramli.



