VEERAPAN: Projek krematorium RM2.5 juta di Repah dijangka siap dalam tempoh enam bulan

REPAH: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Repah, Veerapan Superamaniam berkata pelaksanaan projek krematorium bernilai RM2.5 juta di Repah menjadi antara pencapaian penting sepanjang beliau mewakili kawasan itu.
Menurutnya, projek yang dibiayai Kerajaan Persekutuan itu dijangka siap dalam tempoh enam bulan selepas kerja-kerja awal pembinaan dimulakan oleh kontraktor.
Veerapan berkata, keperluan membina krematorium di Repah dikenal pasti sejak 2018 bagi mengatasi kesukaran penduduk bukan Islam yang sebelum ini terpaksa membawa jenazah ke Seremban, Bahau atau Melaka untuk urusan pembakaran mayat.
“Sebelum ini memang penduduk bukan Islam di sini menghadapi masalah kerana mereka perlu pergi ke Seremban, Bahau ataupun Melaka yang mengambil masa lebih kurang satu setengah jam.
“Keluarga sudah pun bersedih kerana kehilangan orang tersayang dan mereka terpaksa menempuh perjalanan yang panjang,” jelas beliau.
Beliau berkata, isu berkenaan menjadi lebih mendesak ketika pandemik Covid-19 pada 2020 apabila berlaku peningkatan kematian sehingga rumah mayat di hospital berdepan kekangan ruang.
Menurutnya, selepas perubahan pentadbiran Kerajaan Persekutuan, projek berkenaan akhirnya diluluskan dengan kos RM2.5 juta di bawah peruntukan Pejabat Perdana Menteri.
“Akhirnya selepas Dato’ Seri Anwar Ibrahim (PMX) mengambil alih tampuk pemerintahan di Kerajaan Pusat, kita berjaya mendapatkan projek krematorium ini dengan kos RM2.5 juta.
“Kebenaran Merancang (KM) telah diluluskan oleh pihak berkuasa tempatan dan kerja-kerja awal telah dimulakan.
“Saya jangka projek ini akan siap sepenuhnya dalam tempoh enam bulan lagi,” jelas Veerapan kepada Negeri Kita semasa sesi Walkabout di Repah.

Veerapan yang kini memasuki pertandingan kali kelima di DUN Repah berkata, beliau akan terus memberi kerjasama bagi memastikan projek itu disiapkan mengikut jadual.
Beliau turut memaklumkan bahawa projek berkenaan merupakan sebahagian daripada peruntukan RM20 juta yang diluluskan Kerajaan Persekutuan tahun lalu bagi pembinaan krematorium di seluruh negara.
“Salah satu negeri yang menerima peruntukan ini ialah Negeri Sembilan iaitu di DUN Repah, Tampin.
“Rakyat memberi sokongan yang baik dan mereka terharu dengan usaha yang dilakukan untuk penduduk di sini,” kata Veerapan lagi.
Veerapan merupakan penyandang Exco Keusahawanan, Sumber Manusia, Perubahan Iklim, Koperasi dan Kepenggunaan Negeri Sembilan.
Beliau merupakan ADUN Repah sejak 2008, menang kerusi itu lagi pada tahun 2013, 2018 dan 2023.
Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan akan diadakan pada 1 Ogos 2026.



