Projek Pendalaman Sungai Cerminan Tadbir Urus Berintegriti Kerajaan Negeri – Anwar
SEREMBAN: Pelaksanaan projek pelebaran dan pendalaman sungai di Negeri Sembilan membuktikan komitmen kerajaan negeri dalam mengurus sumber semula jadi secara berhemah demi kepentingan rakyat.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, pendekatan timbal balik yang dilaksanakan membolehkan hasil daripada aktiviti pengorekan pasir digunakan semula untuk membiayai kerja-kerja penyelenggaraan serta penambahbaikan sungai tanpa melibatkan peruntukan tambahan kerajaan.
“Kaedah itu bukan sahaja membantu menangani isu banjir, malah memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai secara terus oleh masyarakat setempat.
“Apabila projek dilaksanakan dengan tatakelola yang baik, hasil yang diperoleh dapat dikembalikan semula kepada rakyat melalui pelbagai kemudahan dan projek pembangunan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Santai Petang Bersama Warga Ampangan di Benteng @ Medan Selera Ampangan, di sini, pada Selasa.
Dalam ucapannya, Anwar turut menekankan bahawa integriti perlu terus menjadi teras kepada setiap dasar dan projek pembangunan yang dilaksanakan oleh kerajaan.
Menurutnya, setiap keputusan yang dibuat harus mengambil kira kepentingan rakyat serta memberi pulangan yang seimbang kepada komuniti setempat.
“Contoh pendekatan pembangunan yang mengambil kira kebajikan masyarakat ketika terlibat dalam rundingan sebuah projek hotel di Port Dickson, termasuk usaha memastikan komuniti nelayan menerima manfaat melalui aspek pendidikan dan penambahbaikan kediaman.
“Saya menyeru pengundi Negeri Sembilan supaya terus menyokong kerajaan yang berteraskan prinsip amanah, integriti dan tadbir urus yang baik bagi memastikan agenda pembangunan dapat diteruskan.
“Hal ini kerana, rakyat perlu memilih pemimpin yang mampu berkhidmat untuk semua lapisan masyarakat serta mengutamakan kepentingan negeri melebihi kepentingan peribadi,” tambahnya.



