Berita

Nazri Mahu Ampangan Jadi Contoh Bandar Terurus, Fokus Penyelenggaraan Infrastruktur

SEREMBAN: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) N.14 Ampangan, Dato’ Muhammad Nazri Kassim bertekad menjadikan Ampangan sebagai kawasan bandar yang lebih terurus dengan memberi keutamaan kepada penyelenggaraan infrastruktur sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

“Ssebagai sebuah kawasan yang telah matang dari segi pembangunan dan kepadatan penduduk, keutamaan bukan lagi tertumpu kepada pembangunan baharu semata-mata, sebaliknya memastikan segala kemudahan awam diselenggara secara berterusan demi keselesaan penduduk.

“Cabaran seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Ampangan ialah memikirkan soal penyelenggaraan dan memastikan ia dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh.

“Jalan raya, longkang, parit, sungai, pengurusan sampah serta landskap perlu diberi perhatian serius kerana perkara inilah yang memberi kesan secara langsung kepada kualiti hidup rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Program Santai Petang Warga Ampangan bersama Perdana Menteri, Dato Seri Utama Anwar Ibrahim di Benteng@Medan Selera Ampangan, hari ini.

Menurut Muhammad Nazri, antara perancangan yang ingin diteruskan ialah memperkasakan kerja-kerja penyelenggaraan sungai serta menaik taraf kawasan landskap bagi mewujudkan persekitaran yang lebih kondusif kepada masyarakat.

Beliau berkata, jajaran rekreasi di sepanjang sungai yang sedang dibangunkan menerusi projek Kerajaan Persekutuan juga berpotensi dimanfaatkan sebagai ruang riadah dan aktiviti ekonomi komuniti.

“Kita mahu kawasan ini menjadi lokasi masyarakat beriadah, berjoging, berbasikal dan bersantai bersama keluarga.

“Pada masa sama, kita juga boleh mewujudkan ruang perniagaan kecil seperti gerai makanan dan minuman bagi merancakkan ekonomi setempat,” tambahnya.

Mengulas hasil pertemuan dengan penduduk sepanjang tempoh berkempen, beliau berkata isu banjir, penyelenggaraan sungai, sistem perparitan dan pengurusan sisa pepejal merupakan antara perkara yang paling kerap dibangkitkan.

“Penduduk berharap usaha penyelenggaraan sungai diteruskan secara berkala bagi mengelakkan kejadian banjir berulang, selain memastikan sistem saliran sentiasa berada dalam keadaan baik.

“Sebagai contoh di Kampung Ismail, terdapat beberapa jajaran longkang yang dibina dengan aras yang kurang sesuai sehingga menyebabkan air bertakung.

“Keadaan ini perlu diberi perhatian supaya sistem saliran dapat diperbaiki dan risiko banjir dapat dikurangkan demi kesejahteraan penduduk,” katanya.

Dalam pada itu, Muhammad Nazri berkata pendekatan kempen yang dibawa sepanjang PRN kali ini turut memberi tumpuan kepada pertemuan secara langsung dengan pengundi melalui kunjungan dari rumah ke rumah.

Pendekatan tersebut memberi peluang kepada beliau memahami sendiri keperluan penduduk selain menyampaikan komitmen PH untuk terus membawa pembangunan dan perkhidmatan terbaik kepada warga Ampangan.

Show More

Related Articles

Back to top button