Malaysia Pertahan Hak Halang Kemasukan Warganegara Israel – Anwar

SEREMBAN: Malaysia akan terus mempertahankan haknya sebagai sebuah negara berdaulat untuk menghalang kemasukan mana-mana warganegara Israel ke negara ini
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Utama Anwar Ibrahim, pendirian berkenaan bukan dasar baharu sebaliknya telah dilaksanakan Malaysia sejak puluhan tahun lalu susulan pendirian negara terhadap tindakan rejim Israel yang melibatkan penjajahan, kekejaman serta pembunuhan berterusan terhadap rakyat Palestin.
“Malaysia tidak akan tunduk kepada sebarang tekanan atau ugutan daripada mana-mana pihak yang mempertikaikan dasar tersebut.
“Ternyata mereka langsung tidak mengikuti perkembangan itu. Banyak negara yang melarang dan Malaysia sudah melarang sejak puluhan tahun lalu.
“Mereka boleh membuat ugutan, tetapi saya akan tetap tegas mempertahankan hak rakyat Malaysia dan keputusan yang dibuat oleh rakyat Malaysia untuk terus menghalang kehadiran mana-mana warganegara Israel di Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri Jelajah Rakan Muda 2026 di Kompleks Belia dan Sukan, Paroi, Seremban di sini.
Anwar berkata demikian ketika mengulas gesaan beberapa ahli Kongres Amerika Syarikat (AS) yang mendakwa Malaysia melanggar undang-undang antarabangsa susulan larangan kemasukan warganegara Israel ke negara ini.
“Saya menegaskan dakwaan tersebut tidak berasas kerana Malaysia mempunyai hak menentukan dasar sendiri sebagai sebuah negara yang merdeka dan berdaulat.
“Tindakan kita terhadap Israel adalah kerana kezaliman mereka, penjajahan dan pembunuhan yang berlaku setiap hari.
“Malaysia ialah sebuah negara merdeka. Kalau mereka yang bercakap itu tidak merdeka atau tidak bebas menyuarakan pandangan, kita bebas bersuara,” katanya.
Dalam pada itu, Anwar menjelaskan pendirian Malaysia bukan ditujukan terhadap masyarakat beragama Yahudi, sebaliknya khusus terhadap warganegara Israel berdasarkan dasar negara berkaitan konflik Palestin.
Anwar turut memaklumkan isu berkenaan tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Amerika Syarikat.



