Berita

PRN NS16: Anwar Dakwa Perebutan Jawatan Punca Pilihan Raya Negeri Diadakan Lebih Awal

PRN NS16: Anwar Dakwa Perebutan Jawatan Punca Pilihan Raya Negeri Diadakan Lebih Awal

SEREMBAN: Perebutan kuasa dan jawatan dalam kalangan pihak tertentu didakwa menjadi antara faktor yang mencetuskan keperluan mengadakan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan lebih awal.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, situasi berkenaan berbeza dengan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui Datuk Seri Aminuddin Harun, yang menurutnya terus memberi tumpuan kepada agenda pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Keutamaan sesebuah kerajaan seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh ekonomi, menarik pelaburan dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, bukannya disibukkan dengan persaingan untuk mendapatkan jawatan.

“Kita perlu memastikan kestabilan politik sentiasa terpelihara kerana ia mempunyai hubungan langsung dengan keyakinan pelabur dan pertumbuhan ekonomi negeri.

“Apabila berlaku ketidaktentuan politik, ia boleh memberi kesan kepada usaha menarik pelaburan dan akhirnya rakyat yang akan menerima kesannya,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Paroi, malam ini.

Turut hadir Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Mohamad Sabu, Timbalan Setiausaha Agung DAP, Steven Sim serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, sepanjang tempoh pentadbiran Kerajaan Perpaduan, beliau tidak pernah menerima laporan yang mempersoalkan keupayaan Aminuddin dalam melaksanakan tanggungjawab sebagai Menteri Besar atau mengabaikan keperluan rakyat.

“Isu yang sering dibangkitkan ketika ini lebih menjurus kepada soal pembentukan kerajaan dan siapa yang bakal mengisi jawatan Menteri Besar sekiranya berlaku perubahan pentadbiran selepas pilihan raya.

“Penilaian terhadap sesebuah kerajaan sepatutnya dibuat berdasarkan rekod pencapaian, keberkesanan pelaksanaan dasar, kemasukan pelaburan serta keupayaan menyelesaikan isu rakyat.

“Rakyat berhak menilai berdasarkan prestasi dan hasil yang telah dicapai. Aspek pembangunan, kebajikan serta kemajuan negeri perlu menjadi ukuran utama dalam membuat pilihan,” katanya.

Pada masa sama, beliau menyifatkan barisan calon PH yang ditampilkan pada PRN Negeri Sembilan kali ini sebagai calon yang mempunyai pengalaman, rekod perkhidmatan serta komitmen tinggi dalam memperjuangkan kepentingan rakyat.

Anwar turut menegaskan bahawa agenda pembangunan negeri perlu diteruskan melalui pentadbiran yang stabil, telus dan berintegriti agar manfaatnya dapat dinikmati oleh seluruh rakyat tanpa mengira latar belakang kaum dan agama.

Katanya, pendekatan tersebut selari dengan usaha kerajaan untuk memastikan pembangunan yang dilaksanakan bersifat inklusif serta mampu meningkatkan taraf hidup rakyat secara menyeluruh.

Show More

Related Articles

Back to top button