Bantuan SARA Dinaikkan Lagi Pada 2027, Selaras Komitmen Bantu Rakyat Hadapi Kos Sara Hidup

SEREMBAN: Kerajaan akan meningkatkan kadar Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun 2027 sebagai usaha berterusan membantu rakyat berdepan cabaran kos sara hidup yang masih tinggi.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim berkata, langkah itu mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap keluhan rakyat meskipun pelbagai bentuk bantuan termasuk Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan SARA telah dilaksanakan sebelum ini.
“Peningkatan bantuan itu juga akan diselaraskan dengan pendekatan kebajikan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sembilan di bawah pimpinan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun.
“Kita akan naikkan lagi SARA untuk rakyat dan kita selaraskan dengan apa yang dilaksanakan di Negeri Sembilan,” katanya ketika berucap pada Jelajah Kekal Harapan Negeri Sembilan di Paroi, malam ini.
Menurutnya, kerajaan sentiasa menilai keberkesanan bantuan yang disalurkan dan mengakui masih terdapat rakyat yang berdepan tekanan kos sara hidup walaupun keadaan ekonomi negara terus menunjukkan perkembangan positif.
Cadangan menaikkan kadar SARA telah dibincangkan bersama Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Tan Sri Johan Mahmood Merican dan akan dipertimbangkan dalam pembentangan Belanjawan akan datang.
Dalam pada itu, Anwar turut memuji inisiatif Kerajaan Negeri Sembilan yang terus memperkukuh jaringan keselamatan sosial menerusi pelbagai bantuan kepada golongan memerlukan.
“Kerajaan negeri melalui Menteri Besar Pemerbadanan (MBI) telah menyalurkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak RM300 kepada setiap Ketua Isi Rumah (KIR) dalam kalangan fakir dan miskin, melibatkan 4,524 penerima di seluruh negeri.
“Usaha bersepadu antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri penting bagi memastikan lebih ramai rakyat menerima manfaat secara menyeluruh,” tambahnya.
Anwar berkata, kerajaan sentiasa mendapatkan maklum balas secara langsung daripada rakyat bagi memastikan dasar dan bantuan yang dilaksanakan benar-benar memenuhi keperluan semasa.
“Saya sendiri setiap minggu turun bertemu rakyat, mendengar sendiri pandangan mereka mengenai harga barang dan kos kehidupan. Sebab itu kita terus menambah baik bantuan yang disediakan,” katanya.
Hal ini kerana, kestabilan politik dan ekonomi perlu terus dipelihara bagi memastikan keyakinan pelabur kekal kukuh sekali gus mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menjamin kesejahteraan rakyat.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat Negeri Sembilan terus memberikan sokongan kepada pentadbiran Aminuddin bagi memastikan agenda pembangunan negeri dan kebajikan rakyat dapat diteruskan secara konsisten.



