Berita

PH Buktikan Manifesto Bukan Sekadar Janji, Pelbagai Inisiatif Berjaya Dilaksanakan – Aminuddin

SEREMBAN: Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan terus membuktikan komitmennya melaksanakan setiap manifesto yang dijanjikan sejak mentadbir negeri ini pada 2018.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pendekatan pentadbiran kerajaan negeri sentiasa berteraskan prinsip mengembalikan hasil pembangunan kepada rakyat menerusi pelbagai dasar dan inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat tanpa mengira kaum.

Menurutnya, antara pencapaian yang berjaya direalisasikan termasuk penukaran status pegangan tanah daripada pajakan kepada pegangan bebas bagi kawasan yang layak, pembinaan masjid, pembangunan sekolah agama serta pelaksanaan pelbagai bantuan kebajikan dan pendidikan.

“Kita bukan sekadar menawarkan manifesto, sebaliknya melaksanakan apa yang dijanjikan sejak diberi mandat mentadbir negeri pada 2018.

“Segala dasar yang dilaksanakan memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan tanpa mengira kaum dan latar belakang,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan DUN Paroi, di sini, malam tadi.

Turut hadir Perdana Menteri merangkap Pengerusi Pakatan Harapan, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Aminuddin yang juga calon Pakatan Harapan bagi DUN Linggi berkata, manifesto PH bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan kali ini turut memberi tumpuan kepada usaha memperluaskan jaringan perlindungan sosial, termasuk kepada golongan M40, di samping meneruskan bantuan kepada kumpulan B40.

Beliau berkata, antara komitmen yang ditawarkan ialah meningkatkan bantuan tahunan kepada warga emas berusia 70 tahun ke atas daripada RM200 kepada RM300, selain memperluaskan bantuan kepada golongan berumur antara 65 hingga 69 tahun.

Menurutnya, segala inisiatif yang dirancang adalah bagi memastikan hasil kemajuan ekonomi negeri dapat terus dinikmati rakyat, sekali gus meningkatkan kesejahteraan hidup mereka.

“Kita mahu memastikan hasil pembangunan negeri dikembalikan kepada rakyat dan kebajikan mereka terus menjadi keutamaan,” katanya.

Sehubungan itu, beliau menyeru rakyat supaya menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan rekod pelaksanaan pelbagai inisiatif yang telah dibuktikan sepanjang tempoh mentadbir, selain terus memberikan mandat bagi memastikan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat dapat diteruskan.

Show More

Related Articles

Back to top button