Rakyat Diseru Tolak Politik Perkauman, Nilai Kerajaan Berdasarkan Prestasi – Mohamad

SEREMBAN: Politik yang memainkan sentimen perkauman dan persepsi sempit tidak seharusnya menjadi asas kepada penilaian rakyat menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, sebaliknya prestasi pentadbiran dan rekod pencapaian kerajaan perlu dijadikan ukuran utama.
Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Dato’ Seri Mohamad Sabu berkata, isu berkaitan perkauman serta dakwaan terhadap parti komponen Kerajaan Perpaduan sering dibangkitkan setiap kali musim pilihan raya bagi mempengaruhi persepsi pengundi, khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu.
“Pendekatan sedemikian tidak membawa manfaat kepada rakyat, sebaliknya hanya mengalih perhatian daripada perbincangan mengenai dasar, pembangunan dan usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat.
“Isu ini sering dimainkan setiap kali pilihan raya untuk meraih sokongan. Apa yang lebih penting ialah rakyat menilai prestasi kerajaan dan hasil yang telah dicapai,” katanya ketika berucap pada Ceramah Perdana Pakatan Harapan (PH) DUN Paroi, di sini, malam tadi.
Mohamad yang juga Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan berkata, Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Dato’ Seri Utama Anwar Ibrahim terus memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh ekonomi negara serta melaksanakan pelbagai inisiatif bagi membantu rakyat.
Menurutnya, meskipun setiap pentadbiran mempunyai ruang untuk penambahbaikan, pencapaian kerajaan ketika ini menunjukkan perkembangan yang positif dan turut mendapat pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Sehubungan itu, beliau mengajak rakyat membuat penilaian secara rasional berdasarkan rekod pentadbiran dan pencapaian yang telah dibuktikan, demi memastikan kestabilan politik serta kesinambungan agenda pembangunan negara dan Negeri Sembilan dapat diteruskan.



