Berita

Aminuddin Tolak Debat Saat Akhir, Tekad Kerja 200 Peratus Menangi PRN

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun memilih untuk memberi tumpuan kepada kempen turun padang berbanding melayan cabaran sesi debat atau dialog dengan mana-mana pihak termasuk dengan Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias pada penghujung tempoh berkempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan pada 1 Ogos 2026.

Menurutnya, sekiranya cadangan debat itu dikemukakan lebih awal, ia mungkin boleh dipertimbangkan namun ketika ini keutamaan adalah melaksanakan strategi akhir kempen.

“Kenapa baru sekarang?
Kita sudah berada di penghujung fasa kempen.

“Waktu ini penting untuk kita melaksanakan strategi akhir.

“Sepatutnya kalau mahu berdebat ia sepatutnya dilaksanakan lebih awal bukan ketika kita sedang membuat persiapan terakhir menghadapi pilihan raya,” katanya kepada pemberita di sini.

Aminuddin berkata, pendekatan kempen PH adalah turun bertemu rakyat dari rumah ke rumah bagi mendengar sendiri permasalahan mereka.

“Yang lebih utama ketika ini ialah kita bersama pengundi, menyantuni mereka dan mendengar sendiri aduan serta masalah yang boleh kita selesaikan.

“Kempen kita ialah kempen bersama rakyat.

“Kita pergi kepada rakyat dan bertemu mereka sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata beliau kini memikul amanah yang lebih besar selepas diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon Menteri Besar sekiranya PH berjaya membentuk kerajaan negeri.

Katanya, pengumuman itu bukan perkara baharu kerana telah dibuat beberapa kali sebelum ini sejak pengumuman calon dan pelancaran jentera pilihan raya.

“PMX telah umumkan banyak kali sejak pengumuman calon dan pelancaran jentera.

“Saya yakin rakyat faham bahawa itu adalah pengumuman daripada Perdana Menteri selaku Presiden Pakatan Harapan dan disokong oleh semua pimpinan,” katanya.

Aminuddin berkata, kepercayaan yang diberikan itu mendorongnya untuk bekerja lebih keras sepanjang tempoh kempen.

“Kerana itu saya harus bekerja bukan lagi 100 peratus tetapi 200 peratus bagi memastikan Pakatan Harapan memenangi pilihan raya ini bersama pasukan saya.

“Kita mahu memastikan calon-calon PH yang mempunyai pengalaman dan kebolehan dapat melaksanakan amanah dengan sebaiknya,” katanya.

Mengulas keputusan bertanding di DUN Linggi, Aminuddin berkata ia dibuat atas kerelaannya sendiri selepas mempertimbangkan keperluan politik dan pembangunan kawasan berkenaan.

Katanya, perpindahan dari DUN Sikamat bukan keputusan mudah memandangkan beliau lebih selesa di kawasan yang diwakilinya sebelum ini.

“Kalau ikutkan, saya lebih selesa di Sikamat kerana ramai yang mengenali saya dan mereka seperti keluarga besar saya.

“Tetapi saya menawarkan diri untuk bertanding di Linggi kerana mahu berkhidmat kepada masyarakat di sini dan memastikan kawasan ini dapat dibangunkan dengan lebih pesat,” katanya.

Menurut beliau, pembangunan yang dirancang termasuk projek Midport Smart AI Port (AIPOD), pembangunan kawasan perindustrian, penambahbaikan infrastruktur serta pelaksanaan projek tebatan banjir diyakini mampu mengangkat Linggi daripada terus ketinggalan.

“Dengan projek AIPOD, kawasan perindustrian serta penyelesaian isu banjir melalui projek tebatan banjir, saya yakin Linggi tidak lagi akan ketinggalan daripada arus pembangunan.

“Semua ini akan memberi manfaat kepada penduduk Linggi,” katanya.

Aminuddin turut menolak dakwaan kononnya keputusan bertanding di Linggi dipengaruhi mana-mana pihak.

“Saya bukan ‘boneka DAP’ dan bukan juga boneka mana-mana pihak.

“Saya membuat keputusan ini kerana saya sayangkan parti dan perjuangan ini.

“Yang penting bagi saya ialah memastikan Pakatan Harapan menang pada pilihan raya kali ini,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button