PRN NS16: Kamarul Arifin Mahu Jadikan Seri Menanti Hab Pelancongan dan Pertanian Belia

SERI MENANTI: Pembangunan sektor pelancongan dan pertanian bakal menjadi antara pemacu utama ekonomi Seri Menanti bagi mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda, sekali gus menggalakkan mereka terus membangunkan kampung halaman sendiri.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi DUN Seri Menanti, Mohd Kamarul Arifin Mohd Wafa, berkata usaha itu selaras dengan Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah 2035 yang menggariskan Seri Menanti sebagai kawasan berpotensi untuk dibangunkan menerusi sektor pelancongan dan pertanian.
Menurut beliau, potensi yang dimiliki Seri Menanti perlu dimanfaatkan sepenuhnya supaya limpahan ekonomi dapat dinikmati seluruh komuniti, terutama generasi muda.
“Seri Menanti ini nanti akan jadi satu kawasan pelancongan, kemudian ada (aktiviti) pertanian dan sebagainya.
“Peluang ada pada anak-anak muda untuk menghidupkan ruang-ruang dalam bentuk pelancongan tempatan sama ada melalui pertanian, kawasan-kawasan pelancongan, rumah-rumah inap desa, bahkan menawarkan kedai-kedai yang menyediakan makanan tradisional Negeri Sembilan di Seri Menanti.
“Sebab itulah saya tengok potensi yang dikatakan dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuala Pilah khususnya Seri Menanti 2035 ini perlu kita pertahankan dan laksanakan kerana ia akan memberi limpahan ekonomi kepada seluruh komuniti di Seri Menanti. Golongan muda juga boleh mengusahakan sektor pelancongan yang mampu menjana pendapatan kepada mereka,” katanya ketika ditemui hari ini.
Beliau berkata, pembangunan sektor pelancongan bukan hanya tertumpu kepada destinasi pelancongan semata-mata, sebaliknya merangkumi pembangunan inap desa, perusahaan makanan tradisional dan produk pelancongan berasaskan komuniti yang mampu memberi nilai tambah kepada ekonomi setempat.
Selain itu, katanya, sektor pertanian juga mempunyai potensi besar untuk diperkasakan dengan penglibatan golongan muda melalui penggunaan tanah adat dan tanah pertanian sedia ada.
Menurutnya, gabungan sektor pelancongan dan pertanian akan mewujudkan ekosistem ekonomi yang lebih mampan serta membuka ruang kepada belia untuk membina kerjaya tanpa perlu berhijrah ke bandar.
Dalam pertandingan tiga penjuru pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16, Mohd Kamarul akan berdepan penyandang Barisan Nasional (BN), Muhammad Sufian Maradzi serta calon Bersatu, Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.



