Penduduk Seri Menanti Puji Pentadbiran Aminuddin, Hargai Komitmen Dekati Rakyat

SERI MENANTI: Penduduk Seri Menanti menyifatkan pentadbiran Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun sebagai baik, selain menghargai komitmen Menteri Besar itu yang sentiasa mendekati rakyat dan mengambil berat perkembangan kawasan berkenaan.
Pesara kerajaan, Adnan, 65, berkata, kehadiran Aminuddin dalam pelbagai program masyarakat termasuk sambutan Hari Raya bersama Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir menunjukkan hubungan erat antara kepimpinan negeri dengan rakyat.
“Setakat ini tidak ada apa-apa masalah. Kepimpinan kepada masyarakat bagus dan beliau sentiasa bersama rakyat.
“Setiap kali Hari Raya atau ada program bersama Tuanku, Menteri Besar turut hadir. Saya lihat hubungan beliau dengan masyarakat di sini sangat baik,” katanya.
Isterinya, Norashikin, 60, turut bersetuju dengan pandangan tersebut.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas kunjungan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Menanti, Mohd Kamarul Ariffin Mohd Wafa, ke kediamannya.
Menurut Adnan, sepanjang menetap di Seri Menanti, beliau melihat pelbagai usaha pembangunan dilaksanakan secara berterusan bagi memastikan keselesaan penduduk di kawasan berkenaan.
“Aspek penyelenggaraan dan penambahbaikan kemudahan asas perlu diteruskan supaya manfaatnya dapat dinikmati penduduk dalam tempoh jangka panjang.
“Penambahbaikan memang ada dan saya harap ia dapat diteruskan lagi. Kalau kita buat pembangunan seperti jalan, kemudahan itu perlu diselenggara dari semasa ke semasa supaya dapat bertahan lebih lama.
“Setiap pembangunan memerlukan proses tertentu. Sebagai contoh, permohonan jalan yang dibuat sebelum ini akhirnya berjaya dilaksanakan selepas lebih dua tahun dan kami menghargai usaha tersebut,” katanya.
Menurutnya, antara keperluan utama penduduk di kawasan berkenaan ialah kemudahan asas seperti jalan berturap, bekalan air dan lampu jalan, khususnya bagi kawasan penempatan baharu.
Beliau turut memahami pembangunan dilakukan secara berperingkat mengikut keperluan dan perancangan yang ditetapkan.
“Saya sudah lebih dua tahun tinggal di sini dan setakat ini tiada masalah besar. Apa yang penting, pembangunan terus berjalan dan kemudahan penduduk semakin ditambah baik,” katanya.
Mengulas mengenai kunjungan Kamarul Ariffin Wafa ke kediamannya, Adnan berkata, ia merupakan pengalaman pertama menerima lawatan calon pilihan raya sejak menetap di kawasan tersebut.
Beliau berharap wakil rakyat yang dipilih nanti dapat meneruskan usaha membangunkan Seri Menanti serta terus mendekati masyarakat.



