Danish Nazran tekad selesai isu asas penduduk Chembong sebelum laksana pembangunan besar

CHEMBONG: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chembong, Danish Nazran Murad, berkata fokus utamanya sekiranya diberi mandat sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) adalah menyelesaikan isu-isu asas yang dihadapi penduduk sebelum merancang pembangunan berskala besar.
Menurut calon berusia 27 tahun itu, setiap lokaliti di DUN Chembong mempunyai cabaran dan keperluan berbeza yang memerlukan penyelesaian khusus melalui kerjasama dengan pelbagai pihak berkepentingan.
“Saya sebagai seorang calon muda, saya tahu kapasiti saya di mana.
“Tetapi untuk melakukan perubahan di DUN Chembong yang mempunyai demografi dan geografi yang berbeza, perkara pertama yang saya perlu lakukan ialah bertemu pihak-pihak berkepentingan seperti Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) bagi membincangkan permasalahan yang berlaku,” kata Danish.
Beliau berkata, program turun padang dan walkabout yang dijalankan sepanjang tempoh kempen membolehkannya mendengar secara langsung suara rakyat serta mengenal pasti pelbagai isu yang dihadapi penduduk.
Katanya, antara aduan yang diterima termasuk gangguan kera liar yang merosakkan tanaman penduduk selain beberapa masalah setempat yang masih belum dapat diselesaikan.
“Dalam DUN ini kita ada banyak lokaliti dan setiap lokaliti mempunyai masalah yang berbeza.
“Mungkin kita boleh membawa pembaharuan seperti menjadikan Chembong sebagai sebuah bandar pelancongan beradat, tetapi pada masa sama kita juga perlu mengatasi masalah setempat seperti kera masuk kampung dan memusnahkan tanaman,” jelas Danish.

Mengulas prestasi penyandang kerusi DUN Chembong, Danish berkata beliau menyerahkan kepada pengundi untuk membuat penilaian, namun tidak menafikan masih terdapat beberapa isu tempatan yang dibangkitkan sepanjang beliau berkempen.
“Saya tidak mahu mengatakan ia kegagalan penyandang kerana itu hak pengundi untuk menilai prestasi beliau.
“Tetapi sebagai calon baharu, saya tidak boleh nafikan masih ada masalah-masalah setempat yang gagal diselesaikan sebelum ini.
“Sepanjang walkabout, memang ada keluhan, aduan dan rungutan daripada penduduk,” ujar beliau.
Beliau berkata, segala aduan yang diterima akan menjadi antara keutamaan untuk diselesaikan sekiranya diberi kepercayaan oleh pengundi pada Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16).
“Kadang-kadang kita nak buat benda besar, kita kena selesaikan benda kecil dulu.
“Tiada maknanya kita membuat perubahan besar di DUN Chembong sedangkan dalam masa yang sama kita tidak mampu menyelesaikan isu-isu kecil yang dihadapi rakyat,” kata Danish lagi.
Danish mempunyai kelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dan merupakan Ketua Biro Antarabangsa Angkatan Muda Keadilan (AMK) Negeri Sembilan.



