Kempen semakin rancak, Manivanan kata sokongan kepada PH terus meningkat di Jeram Padang

JERAM PADANG: Kempen yang semakin agresif dengan pelbagai program mendekati pengundi diyakini mampu meningkatkan sokongan terhadap Pakatan Harapan (PH) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang menjelang hari pengundian.
Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jeram Padang, G. Manivanan berkata, sokongan terhadap gabungan itu terus menunjukkan peningkatan sepanjang minggu pertama tempoh berkempen bagi Pilihan Raya Negeri Ke-16 (PRN-16) Negeri Sembilan.
Menurut beliau, walaupun kehadiran PH kini lebih menyerlah menerusi pemasangan bendera dan papan iklan kempen, usaha mendekati pengundi sebenarnya telah bermula lebih awal sebelum hari penamaan calon.
“Bezanya sekarang dengan adanya bendera dan billboard, keberadaan Pakatan Harapan di Jeram Padang lebih jelas.
“Tetapi perjumpaan dengan pengundi telah bermula lama sebelum hari penamaan calon lagi dan kini ia diteruskan secara lebih strategik,” katanya.
Manivanan berkata, jadual kempennya kini lebih padat dengan pelbagai program diadakan setiap hari melibatkan ziarah kasih, walkabout dan sesi bertemu penduduk di pelbagai lokaliti sekitar Jeram Padang.
Katanya, pasukan kempennya menetapkan sasaran sekurang-kurangnya 10 program sehari bagi memastikan setiap lapisan masyarakat dapat didekati sepanjang tempoh berkempen.
“Tujuh hari ini memang cukup agresif. Setiap hari KPI kami adalah sekurang-kurangnya 10 program dan setiap program mengambil masa antara satu hingga dua jam.
“Setiap hari kami komited untuk bertemu seramai mungkin pengundi,” jelas beliau.

Manivanan berkata, hasil pertemuan itu menunjukkan sambutan terhadap PH semakin positif apabila lebih ramai pengundi mahu mendengar penjelasan mengenai calon serta hala tuju Kerajaan Negeri dan Persekutuan.
“Saya mendapati setiap hari sokongan kepada Pakatan Harapan sedang bertambah.
“Setiap kali saya bertemu pengundi, saya terangkan siapa saya, siapa Kerajaan Negeri Sembilan, siapa Menteri Besar serta siapa Perdana Menteri,” katanya.
Mengulas saingan di DUN Jeram Padang yang menyaksikan pertandingan empat penjuru, Manivanan berpandangan persaingan sebenar tertumpu antara PH dan Barisan Nasional (BN).
“Walaupun pertandingan di sini melibatkan empat penjuru, saya melihat persaingan sebenar adalah antara gelombang biru Barisan Nasional dengan gelombang merah Pakatan Harapan.
“Itu yang semakin jelas ketika kami turun bertemu rakyat,” ujarnya.
Pada PRN-16, Manivanan berdepan penyandang DUN Jeram Padang, Datuk Mohd Zaidy Abdul Kadir daripada BN, selain Sri Sanjeevan Ramakrishnan (Bersatu) dan Dayana Dal (Asli).
DUN Jeram Padang mempunyai seramai 16,590 pengundi, dengan komposisi 52.3 peratus Melayu, India (33.1 peratus), Cina (9.3 peratus), Orang Asli (4.5 peratus) dan lain-lain sebanyak 0.7 peratus.




