Berita

Dulu 40 Minit, Kini 5 Minit: Dua Jambatan Baharu Bakal Mudahkan Urusan Penduduk Sungai Pelek

CHUAH: Penduduk sekitar Chuah, Bukit Pelanduk dan Sungai Pelek bakal menikmati perjalanan lebih singkat apabila dua projek jambatan baharu yang dirancang siap kelak sekali gus memudahkan urusan harian mereka termasuk aktiviti ekonomi dan pergerakan komuniti nelayan.

Menurut penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Yew Boon Lye, sepanjang tempoh beliau memimpin DUN Chuah pelbagai usaha telah dibawa bagi memastikan keperluan penduduk khususnya melibatkan kemudahan perhubungan diberi perhatian.

“Antara projek utama yang bakal memberi impak besar kepada penduduk ialah Jambatan Sungai Sepang yang menghubungkan Sungai Pelek dengan Bukit Pelanduk serta Jambatan Kuala Lukut-Chuah yang akan memperkukuhkan jaringan perhubungan antara kawasan berkenaan.

“Isu keperluan jambatan ini telah dibawa melalui mesyuarat Dewan Undangan Negeri (DUN) dan mesyuarat jawatankuasa berkaitan bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai pelaksanaan projek.

“Apabila saya bertanya dalam mesyuarat DUN dan juga mesyuarat jawatankuasa sebelum ini saya dimaklumkan projek tersebut telah sampai ke peringkat pelantikan kontraktor,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu berkempen di Kampung Sawah, Chuah disini.

Yew berkata, Jambatan Sungai Sepang yang menghubungkan Sungai Pelek dan Bukit Pelanduk telah diluluskan menerusi Belanjawan 2024 di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dengan siling kos sebanyak RM160 juta.

“Sebelum ini penduduk yang menggunakan laluan sedia ada perlu mengambil masa sekitar 20 hingga 30 minit untuk perjalanan antara kawasan Sungai Pelek dan Bukit Pelanduk.

“Apabila jambatan ini siap nanti, perjalanan itu dijangka dapat dipendekkan kepada sekitar tiga hingga lima minit sahaja,” katanya.

Yew berkata, projek tersebut kini telah memasuki peringkat akhir sebelum pelantikan kontraktor dan pelaksanaan kerja.

Katanya, pembinaan jambatan itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk malah meningkatkan hubungan antara kawasan Sungai Pelek, Bukit Pelanduk, Chuah dan Lukut.

Dalam masa sama, beliau berkata sebuah lagi projek iaitu Jambatan Kuala Lukut-Chuah turut dirancang dengan siling kos sebanyak RM200 juta dan kini berada pada peringkat reka bentuk.

“Jambatan ini akan menghubungkan kawasan Kuala Lukut dan Chuah sekali gus menambah baik sistem perhubungan jalan raya serta memudahkan perjalanan penduduk.

Hasil tinjauan Negeri Kita di Jeti Pengkalan Sungai Bawah (Penambang), Bukit Pelanduk mendapati penduduk setempat masih menggunakan perkhidmatan bot penambang sebagai kemudahan alternatif untuk menyeberang dari Sungai Pelanduk ke Sungai Pelek sementara menunggu projek pembinaan Jambatan Sungai Sepang siap sepenuhnya.

Menurut pengguna perkhidmatan itu, Hamidan bin Safonen, kemudahan bot penambang sedikit sebanyak membantu urusan harian penduduk walaupun projek jambatan masih dalam proses pelaksanaan.

“Kalau guna bot penambang, bayaran dikenakan sekitar RM2 untuk pergi dan RM2 untuk balik bagi sebuah motosikal bersama penumpang.

“Kalau seorang sahaja, bayaran sekitar RM1 sekali perjalanan. Walaupun ada bayaran, ia masih murah dan yang penting membantu penduduk melintas dengan lebih mudah tanpa mengambil masa yang lama,” katanya.

Kemudahan bot penambang berkenaan dilihat terus menjadi penghubung penting bagi penduduk yang perlu berulang-alik bagi urusan harian termasuk keperluan kerja, persekolahan dan aktiviti ekonomi sementara projek Jambatan Sungai Sepang disiapkan.

Sementara itu, Yew turut memberi perhatian terhadap keperluan komuniti nelayan di kawasan berkenaan khususnya di Jeti Pengkalan Nelayan Sungai Bawah Penambang, Bukit Pelanduk.

Yew berkata, usaha mempertingkatkan kemudahan jeti akan diteruskan menerusi kerjasama bersama Persatuan Nelayan Port Dickson, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) serta Jabatan Perikanan.

“Kita akan terus bekerjasama dengan pihak berkaitan untuk melihat keperluan nelayan termasuk dari segi kemudahan dan infrastruktur supaya dapat membantu meningkatkan pendapatan mereka,” katanya.

Menurut Yew, pembangunan perhubungan yang lebih baik perlu bergerak seiring dengan keperluan rakyat supaya manfaatnya dapat dirasai oleh seluruh komuniti termasuk penduduk kampung dan nelayan

Show More

Related Articles

Back to top button