BeritaYB Kita

Sejak Dilantik Wakil Rakyat DUN Chuah, Isu Air Selesai, Kemudahan Bank Turut Disediakan – Yew

CHUAH: Masalah gangguan bekalan air yang berlarutan bertahun-tahun antara isu utama yang berjaya diberi perhatian oleh penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Chuah, Yew Boon Lye, sepanjang tempoh beliau memimpin kawasan melibatkan beberapa kawasan sekitar DUN Chuah termasuk Kampung Chuah, Kampung Bukit Pelanduk, Kampung Tanah Merah, Tanah Merah C dan Sungai Nipah.

Menurut Yew, sebelum beliau dipilih sebagai wakil rakyat, penduduk di beberapa kawasan sekitar Chuah, Bukit Pelanduk, Kampung Tanah Merah dan Sungai Nipah sering berdepan gangguan bekalan air yang berlaku hampir setiap bulan sehingga menjejaskan kehidupan harian penduduk serta peniaga.

“Gangguan air sebelum ini boleh berlaku selama beberapa hari dan dalam keadaan tertentu mengambil masa lebih seminggu untuk dipulihkan.

“Isu utama yang saya selesaikan selepas dipilih sebagai ADUN ialah masalah bekalan air.

“Sebelum saya masuk, bekalan air di kawasan ini sentiasa terputus dan terganggu. Kadang-kadang berlaku dua hingga tiga hari dan hampir setiap bulan berlaku.

“Ia menyusahkan penduduk tempatan termasuk peniaga seperti kedai makan,” katanya kepada pemberita disini.

Yew berkata, sehari selepas dipilih sebagai ADUN Chuah, beliau terus membawa isu berkenaan dengan mengadakan beberapa siri pertemuan bersama pihak berkaitan termasuk Syarikat Air Negeri Sembilan (SAINS) bagi mencari jalan penyelesaian terhadap masalah gangguan bekalan air yang dihadapi penduduk.

“Selepas lebih setahun usaha dilakukan bersama pelbagai pihak, masalah air berjaya ditangani dan gangguan bekalan air secara berulang tidak lagi berlaku seperti sebelum ini.

“Selepas setahun lebih berusaha dengan kerjasama semua pihak, saya berjaya mengatasi masalah tersebut.

“Selepas itu, lebih setahun tidak berlaku lagi kejadian seperti sebelum ini. Kalau berlaku pun disebabkan perkara tertentu seperti kemalangan melibatkan kenderaan besar atau kerosakan tidak dijangka, ia dapat diselesaikan dengan cepat,” katanya.

Yew berkata, penyelesaian isu bekalan air itu memberi manfaat kepada keseluruhan kawasan DUN Chuah yang melibatkan kira-kira 15,000 pengundi.

“Selain isu bekalan air, saya turut memberi perhatian kepada keperluan kemudahan perbankan penduduk khususnya di Bukit Pelanduk selepas sebuah cawangan bank ditutup pada 2019” katanya.

Menurutnya, keadaan itu menyukarkan penduduk terutama warga emas dan peniaga untuk melakukan urusan kewangan.

“Selepas lebih setahun berusaha dan menghantar permohonan kepada beberapa pihak termasuk mendapatkan bantuan daripada Pejabat Perdana Menteri, akhirnya Agrobank membuka cawangan baharu di Bukit Pelanduk pada awal tahun 2025,” katanya.

Dalam masa sama, Yew berkata aspek kebajikan masyarakat turut menjadi antara keutamaan sepanjang beliau berkhidmat termasuk bantuan kepada warga emas, golongan memerlukan serta program kesihatan.

“Pengalaman saya turun padang membolehkan saya lebih mengenal pasti keperluan sebenar penduduk dan memastikan bantuan diberikan kepada mereka yang memerlukan” katanya.

Yee berharap sekiranya diberi mandat sekali lagi, beliau akan terus memberi tumpuan kepada aspek kesihatan, pendidikan serta pembangunan masyarakat di kawasan luar bandar.

Dalam pada itu,Yew Boon Lye akan mempertahankan kerusi DUN Chuah sebagai calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16 dan berdepan saingan satu lawan satu dengan calon Barisan Nasional (BN), Pau Jeou Ching.

PRN Negeri Sembilan ke-16 menyaksikan proses kempen bermula selepas hari penamaan calon dan akan berlangsung sehingga 11.59 malam, 31 Julai 2026, sebelum hari pengundian pada 1 Ogos 2026.

Sepanjang tempoh kempen, PH akan meneruskan pendekatan turun padang dengan bertemu pengundi serta membawa penerangan berkaitan pencapaian dan tawaran mereka kepada rakyat Negeri Sembilan.

Show More

Related Articles

Back to top button