Berita

Gurauan Anthony Loke Calon Menteri Besar Disifatkan Biadab, Aminuddin Minta Asyraf Wajdi Mohon Maaf Kepada Institusi Diraja Negeri Sembilan

LINGGI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun meminta pimpinan UMNO menegur Setiausaha Agung UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki supaya menjaga pertuturan selepas membangkitkan isu berkaitan kedudukan Menteri Besar Negeri Sembilan sekiranya berlaku perubahan kerajaan selepas Pilihan Raya Negeri (PRN).

Menurut Aminuddin, kenyataan Asyraf Wajdi yang mendakwa jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan akan digantikan oleh Pengerusi DAP, Anthony Loke sekiranya beliau kalah pada PRN adalah perkara yang tidak wajar kerana pelantikan Menteri Besar tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Saya rasa Asyraf Wajdi sebagai seorang pemimpin yang bijaksana tetapi apabila beliau mengatakan bahawa kalau saya kalah, Anthony Loke akan jadi Menteri Besar adalah satu perbuatan yang cukup biadab.

“Kita tahu Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri menyatakan yang boleh menjadi Menteri Besar adalah Melayu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas ziarah kasih di Kampung Pengkalan Durian disini.

Aminuddin berkata, kenyataan tersebut bukan sahaja melibatkan dirinya malah turut menyentuh perkara yang perlu dihormati berkaitan institusi Raja dan peraturan negeri.

“Saya minta supaya seluruh pimpinan UMNO tegur pemimpin biadab ini kerana ia melanggar Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri.

“Kita ada Tuanku dan Undang Yang Empat. Kenyataan seperti ini tidak patut berlaku dalam pilihan raya,” katanya.

Aminuddin turut berharap Asyraf Wajdi memohon maaf atas kenyataan tersebut bukan sahaja kepada dirinya tetapi kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir serta rakyat Negeri Sembilan.

“Saya harap Ashraf mohon maaf, bukan kepada saya tetapi kepada Tuanku dan juga rakyat Negeri Sembilan,” katanya.

Dalam pada itu, Aminuddin turut menjawab gurauan oleh Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Mohamad Hasan atau Tok Mat berkaitan isu “potong riben” yang dimainkan sepanjang tempoh kempen PRN.

Aminuddin bagaimanapun dilihat tenang ketika mengulas mengenai gurauan Tok Mat berkaitan isu “potong riben” sambil menegaskan setiap perkara yang dibangkitkan perlu dilihat pada berdasarkan fakta sebenar dan bukan dijadikan bahan politik semata-mata.

Menurutnya, setiap pembangunan dan pelaksanaan projek yang dilakukan kerajaan negeri adalah berdasarkan perancangan serta keperluan rakyat.

Aminuddin berkata, kerajaan negeri akan terus memberi fokus kepada usaha menyelesaikan isu rakyat dan memastikan manfaat pembangunan dapat dirasai masyarakat.

Sementara itu, Aminuddin berkata pengumuman mengenai calon Menteri Besar daripada Pakatan Harapan (PH) sebelum ini telah dibuat oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Presiden PH dalam beberapa program rasmi.

Katanya, perkara itu turut mendapat sokongan semua pimpinan PH dan menjadi dorongan untuk beliau bekerja lebih kuat menghadapi PRN.

“Kerana itu saya harus bekerja bukan lagi 100 peratus, saya harus bekerja 200 peratus bagi memenangi pilihan raya kali ini bersama pasukan saya,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button