Berita

Zainal Fikri yakin Pakatan Harapan mampu merampas DUN Sungai Lui

SUNGAI LUI: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Lui, Zainal Fikri Abd Kadir yakin jentera parti berada dalam keadaan bersedia menghadapi pilihan raya selepas melakukan persiapan lebih awal dengan sokongan padu daripada akar umbi.

Menurut beliau, persediaan jentera dimulakan dua minggu lebih awal termasuk pembukaan bilik gerakan utama dan penambahan jumlah Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) susulan permintaan penyokong di peringkat kampung.

“Sepatutnya kita ada 11 JDM tetapi di DUN Sungai Lui ini, disebabkan semangat ahli akar umbi sangat kuat, ada sesetengah kampung meminta supaya dibuka satu atau dua lagi JDM tambahan.

“Hari ini kita sudah membuka hampir 20 JDM hasil permintaan penyokong Pakatan Harapan sendiri,” katanya.

Zainal Fikri berkata, beliau juga gembira dapat kembali bertugas di DUN Sungai Lui selepas sebelum ini berkhidmat di DUN Pertang, selain menyifatkan kepulangannya disambut baik oleh jentera dan penyokong parti.

Katanya, persiapan awal yang dilakukan membolehkan jentera bergerak lebih tersusun menjelang hari pengundian.

Beliau yang merupakan anak jati Sungai Lui berkata, faktor hubungan rapat dengan penduduk setempat turut menyumbang kepada penerimaan positif sepanjang tempoh berkempen.

“Saya mengajar di sini selama 10 tahun. Hari ini apabila turun ke Kampung Serampang Indah, penerimaan rakyat sangat baik.

“Ramai yang masih mengenali saya, malah saya sempat bertemu rakan sekelas yang sudah berpisah hampir 20 hingga 30 tahun,” kata Zainal Fikri.

Menurut beliau, pilihan raya kali ini mempunyai kepentingan yang besar dan perlu diberikan perhatian oleh semua pihak.

“Saya beritahu kepada mereka bahawa pilihan raya kali ini bukan sekadar pilihan raya biasa.

“Saya menganggap ia sebagai segala ibu pilihan raya,” ujarnya.

Zainal Fikri turut memaklumkan beliau merupakan satu-satunya calon daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menawarkan diri untuk bertanding di DUN Sungai Lui bagi mewakili Pakatan Harapan.

Dato’ Mohd Razi Mohd Ali merupakan penyandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lui (BN).

Persaingan tiga penjuru di Sungai Lui akan menyaksikan pertandingan di antara Zainal Fikri, Mohd Razi dan Mazrulhisham Abd Mansor (Bersatu).

 

Show More

Related Articles

Back to top button