Berita

Siasat Dulu Sebelum Tuduh dan Tuding Jari, Isu Pencerobohan Tanah Sudah Diambil Tindakan – Aminuddin

LINGGI: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun menegaskan isu tular berhubung surat aduan pencerobohan tanah kerajaan bertarikh 18 Julai 2022 telah diberi perhatian oleh kerajaan negeri malah pelbagai tindakan telah diambil bagi menyelesaikan isu penempatan penduduk yang terlibat.

Menurutnya, isu penempatan penduduk di atas tanah rizab kerajaan bukan perkara baharu kerana ia telah berlarutan sejak sekian lama sebelum pentadbiran Pakatan Harapan (PH) menerajui kerajaan negeri.

“Perkara ini telah dibincangkan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri dengan mengambil kira pandangan semua pihak termasuk penduduk yang terlibat.

“Isu melibatkan setinggan ini kita cuba selesaikan sekian lama dan satu persatu telah kita selesaikan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas program ziarah kasih di Kampung Pengkalan Durian, Linggi, di sini.

Aminuddin berkata, antara langkah yang diambil kerajaan negeri ialah menawarkan rumah mampu milik Type A kepada penduduk yang mendiami kawasan setinggan termasuk di Kampung Ulu dan Kampung Pasir.

Menurutnya, penduduk turut diberi pilihan untuk mendapatkan rumah di lokasi seperti Iringan Bayu, selain kerajaan negeri membantu memudahkan urusan pembiayaan bersama institusi perbankan.

“Ini antara usaha kita supaya mereka dapat keluar daripada setinggan tersebut dan tinggal di tanah yang mempunyai hak milik.

“Kita tidak mahu mereka tinggal di kawasan setinggan yang tidak boleh diwariskan kepada anak cucu mereka. Kita mahu beri mereka peluang,” katanya.

Beliau bagaimanapun melahirkan rasa kesal apabila isu tersebut dimainkan sebagai modal politik sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) termasuk cuba dikaitkan dengan sentimen perkauman.

“Tetapi saya agak terkilan kerana isu ini cuba dipermainkan dan digunakan sebagai modal menyentuh soal perkauman.

“Bukan sahaja masyarakat India, orang Melayu juga ada sebagai setinggan di Kampung Pasir.

“Jadi jangan tuduh dan tuding jari sahaja. Lihat dan faham dahulu apa sebenarnya yang berlaku,” katanya.

Menurut Aminuddin, perumahan setinggan berkenaan telah lama wujud sebelum pentadbiran PH dan menjadi tanggungjawab kerajaan negeri ketika ini untuk menyelesaikan isu yang membelenggu penduduk.

“Sepatutnya mereka berterima kasih kerana kita menyelesaikannya.

“Kita beri rumah supaya mereka tidak mengganggu hak orang lain tetapi pembangkang asyik sebut DAP, DAP, DAP.

“Bila pula mereka mahu selesaikan masalah ini?” katanya.

Dalam masa sama, Aminuddin turut menjelaskan isu Kampung Tampin Linggi yang dikaitkan dengan Kampung Angkat MADANI telah dibincangkan dalam Mesyuarat Exco yang turut dihadiri empat Exco daripada UMNO termasuk wakil rakyat Linggi, Faizal Ramli

Katanya, mesyuarat tersebut hanya mencadangkan beberapa kampung yang sesuai berdasarkan keutamaan dan keperluan penduduk bukannya menolak mana-mana kawasan seperti didakwa.

“Perkataan ‘tolak’ itu tidak ada. Dalam mesyuarat Exco kita mencadangkan beberapa kampung yang boleh ditawarkan termasuk di Jelebu, Jempol dan beberapa kawasan lain,” katanya.

Aminuddin turut melahirkan rasa kesal apabila surat berhubung perkara itu bocor kepada umum selepas mesyuarat berkenaan.

“Saya tidak faham bagaimana surat ini boleh bocor kepada umum dan digunakan sebagai isu seolah-olah sudah tiada isu lain untuk dibawa,” katanya.

Show More

Related Articles

Back to top button