Berita

Bakri Mahu Realisasikan Universiti di Jelebu, Bangunkan Hab R&R Baharu Pacu Ekonomi Klawang

KLAWANG: Hasrat mewujudkan sebuah universiti di Jelebu menjadi antara agenda pembangunan jangka panjang yang mahu direalisasikan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir sekiranya diberi mandat semula pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Dalam masa sama, beliau turut berazam meneruskan perancangan membangunkan hab persinggahan berkonsepkan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) di Kampung Tembon yang dilihat berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi dan sektor pelancongan di Jelebu.

“Kedua-dua projek tersebut berpotensi menjadi pemangkin baharu kepada pertumbuhan ekonomi Jelebu melalui peningkatan aktiviti perniagaan, pelancongan, peluang pekerjaan serta pembangunan modal insan di daerah berkenaan.

“Saya sedikit terkilan kerana tidak sempat melaksanakan beberapa perancangan pembangunan yang telah dirangka susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri lebih awal daripada jangkaan.

“Saya ingat kita masih ada dua tahun lagi untuk melaksanakan beberapa perancangan yang telah disusun, namun pilihan raya diadakan lebih awal,” katanya ketika ditemui semasa program kempen di sini, hari ini.

Antara projek yang ingin diteruskannya ialah pembangunan kawasan seluas kira-kira 10 hektar di Kampung Tembon sebagai hab persinggahan berkonsepkan R&R bagi menarik lebih ramai pengunjung singgah di Klawang.

Menurutnya, pembangunan tersebut mampu memberi limpahan ekonomi kepada penduduk setempat memandangkan Klawang sering menjadi laluan pengguna jalan raya termasuk pemilik kenderaan klasik dan motosikal berkuasa tinggi yang kebiasaannya hanya melalui kawasan itu tanpa berhenti.

“Dengan adanya pembangunan ini nanti, kita mahu mewujudkan tarikan yang dapat menggalakkan lebih ramai pengunjung singgah di Klawang sekali gus mengembangkan ekonomi setempat,” tambahnya.

Dalam masa sama, Bakri turut menyimpan hasrat untuk melihat sebuah universiti diwujudkan di Jelebu yang disifatkannya sebagai projek berskala besar dan mampu mengubah landskap pembangunan daerah itu pada masa hadapan.

“Cadangan berkenaan pernah dibincangkan bersama Menteri Besar Negeri Sembilan dan diyakini mampu menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi serta pembangunan modal insan.

“Negeri Sembilan masih belum mempunyai universiti awam sendiri seperti beberapa negeri lain. Ia antara idea besar yang saya harap dapat direalisasikan demi masa depan Jelebu dan negeri ini,” ujarnya.

Selain itu, Bakri turut merancang membangunkan Bukit Terjali sebagai taman rekreasi dan destinasi eko-pelancongan yang dapat memupuk budaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat.

“Usaha mendapatkan sokongan dan kelulusan daripada agensi berkaitan telah dimulakan sebelum ini, namun belum sempat direalisasikan sepenuhnya.

“Jika saya diberikan amanah sekali lagi, saya akan teruskan usaha membangunkan Bukit Terjali sebagai kawasan rekreasi dan eko-pelancongan yang boleh dimanfaatkan oleh penduduk serta pengunjung,” katanya.

Mengulas penerimaan pengundi sepanjang tempoh berkempen, Bakri berkata beliau melihat maklum balas yang positif daripada masyarakat yang ditemuinya.

“Saya menjangkakan sekitar 80 hingga 90 peratus daripada mereka yang saya temui memberi reaksi yang baik. Daripada bahasa badan dan sambutan yang diterima, saya melihat trend yang positif,” katanya.

Beliau menjelaskan antara tawaran PH yang mendapat perhatian pengundi ialah penambahbaikan insentif warga emas dengan bantuan RM200 kepada golongan berusia 65 hingga 70 tahun, manakala mereka yang berumur 70 tahun ke atas akan menerima RM300.

Pada PRN 2023 lalu, Bakri mengalahkan calon Perikatan Nasional (PN), Danni serta seorang lagi calon Bebas dengan majoriti 577 undi.

Danni ketika itu mewakili PN manakala PH dan Barisan Nasional (BN) membentuk kerjasama dalam menghadapi PRN berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button