Berita

Dzulkefly Yakin Rakyat Nilai Prestasi Kerajaan, Enggan Layan Politik Serangan

KLAWANG: Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad yakin rakyat Negeri Sembilan mampu menilai prestasi pentadbiran kerajaan negeri berdasarkan rekod pencapaian sepanjang tempoh memerintah, berbanding terpengaruh dengan serangan politik pihak lawan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.

Beliau berkata, tumpuan ketika ini seharusnya diberikan kepada usaha meneruskan kesinambungan pembangunan dan perkhidmatan kepada rakyat, bukannya melayan polemik politik.

“Hal-hal yang orang nak berpolitik dengan cara-cara tertentu itu saya tidak mahu terpanggil untuk menyinggung walaupun kita mempunyai pendirian yang jelas dan tegas mengenai perkara itu.

“Yang mustahak sekarang ialah memberi ruang kepada kerajaan yang masih mempunyai tempoh untuk terus berkhidmat dan menamatkan amanah yang dipertanggungjawabkan.

“Insya-Allah saya yakin rakyat akan memahami kepentingan untuk terus memberikan sokongan kepada kerajaan Madani di bawah kepimpinan Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun (Tok Min),” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas mengiringi penyandang Dewan Undangan Negeri (DUN) Klawang, Datuk Bakri Sawir, menziarahi penduduk di sekitar Klawang, di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Dzulkefly yang juga Menteri Kesihatan berkata, sepanjang tempoh Bakri menjadi wakil rakyat Klawang, pelbagai penambahbaikan telah dilaksanakan di Hospital Jelebu bagi meningkatkan mutu perkhidmatan kesihatan kepada penduduk.

Menurutnya, sebanyak RM2 juta peruntukkan telah disalurkan bulan lalu bagi kerja-kerja menaik taraf hospital berkenaan, termasuk penyediaan kemudahan baharu dan penyelenggaraan infrastruktur.

“Peruntukkan ini digunakan untuk kerja-kerja naik taraf, termasuk menaik taraf klinik pergigian, penyediaan mesin ultrasound dan beberapa kemudahan lain.

“Selain itu, kita turut menyelesaikan isu parkir yang sering menjadi rungutan orang ramai. Secara keseluruhan, peruntukan yang dibelanjakan hampir mencecah RM2 juta,” katanya.

Menurutnya, suntikan dana itu adalah hasil perbincangan bersama pihak pengurusan hospital bagi memastikan kemudahan dan perkhidmatan kesihatan di Hospital Jelebu terus dipertingkatkan.

Mengulas perkembangan kempen PRN pula, Dzulkefly berkata, beliau melihat sambutan rakyat terhadap calon Pakatan Harapan (PH) di beberapa kawasan yang dikunjunginya berada pada tahap yang positif.

Sepanjang turun berkempen di beberapa DUN termasuk Lenggeng, Paroi, Kota dan Klawang, beliau dapat melihat sendiri sokongan masyarakat yang terus menghargai rekod pentadbiran kerajaan negeri.

“Saya nampak satu pergerakan yang baik. Di mana sahaja saya turun, sama ada di masjid, surau, tempat makan atau program kemasyarakatan, ramai yang mahu kerja-kerja baik Tok Min dan kerajaan negeri terus diperkatakan.

“Saya juga mengadakan ceramah kelompok kecil bagi menerangkan kepentingan meneruskan pentadbiran sedia ada yang telah membuktikan kejayaan dalam pelbagai aspek termasuk pertumbuhan hasil negeri dan pembangunan,” ujarnya

Show More

Related Articles

Back to top button