Penduduk Mahukan Perubahan, Harap Tokmin Jadikan Linggi Sebagai Destinasi Pelancongan
LINGGI: Penduduk Kampung Pengkalan Durian berharap kawasan Linggi terus diberi perhatian khususnya dalam aspek pembangunan pelancongan dan pengukuhan ekonomi setempat bagi mengetengahkan potensi kawasan itu sebagai destinasi tarikan pelancong.
Anak jati Kampung Pengkalan Durian, Bushra Ahmad berkata masih banyak ruang untuk kawasan berkenaan dibangunkan terutama dari segi kemudahan pelancongan serta peluang kepada peniaga kecil.
Menurutnya, walaupun terdapat penambahbaikan di kawasan berkenaan tetapi aspek pembangunan perniagaan dan infrastruktur berkaitan pelancongan masih perlu diperkasakan.
“Penambahbaikan itu ada, kalau tak ada tu tipulah.
“Cuma dari segi pembangunan perniagaan dan infrastruktur untuk pelancongan masih belum ada,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menerima kunjungan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun di Kampung Pengkalan Durian, di sini.
Bushra berkata, Linggi mempunyai keunikan tersendiri menerusi tarikan seperti udang galah, makanan salai dan kawasan berkaitan hidupan liar namun potensi berkenaan masih belum diketengahkan sepenuhnya.
“Linggi terkenal dengan udang galah, makanan salai serta tarikan buaya namun sektor pelancongan itu masih belum cukup diketengahkan sepenuhnya.
“Dan orang luar hanya datang ke Linggi macam pekan biasa sahaja,” katanya.
Sehubungan itu, Bushra berharap sekiranya Aminuddin diberi mandat meneruskan kepimpinan negeri, kawasan Linggi dapat diberikan nafas baharu menerusi pembangunan yang mampu membantu penduduk menjana pendapatan.
Katanya, antara cadangan yang boleh dipertimbangkan ialah penyediaan kiosk atau kabin perniagaan secara tersusun untuk peniaga kecil termasuk ruang jualan makanan, produk tempatan serta aktiviti berkaitan pelancongan.
“Saya nak satu persekitaran baharu untuk Linggi.
“Kalau ada kiosk yang cantik dan tersusun, ia boleh menjadi tarikan kepada pengunjung.
“Boleh juga sediakan kabin untuk orang memancin kerana Linggi memang terkenal dengan aktiviti memancing tetapi kemudahan seperti itu masih kurang,” katanya.
Menurut Bushra, pembangunan pelancongan bukan sahaja mampu menarik kehadiran pelancong malah dapat membuka peluang ekonomi kepada masyarakat setempat terutama golongan suri rumah dan usahawan kecil.
Bushra berkata, hasil kampung seperti bunga kantan, asam keping dan produk makanan tempatan juga boleh diketengahkan sekiranya terdapat lokasi sesuai untuk penduduk berniaga.
“Macam saya baru mengalami kemalangan tangan patah. Jadi untuk angkut khemah setiap hari agak sukar.
“Sebab itu saya berharap sekiranya Tokmin diberi peluang terus mentadbir Linggi, kemudahan seperti kiosk dapat disediakan supaya peniaga kecil lebih mudah menjalankan perniagaan,” katanya.
Dalam pada itu, Bushra menyifatkan Aminuddin sebagai pemimpin yang mudah didekati dan sering turun padang bertemu masyarakat.
“Sepanjang pentadbiran Aminuddin, saya melihat banyak peningkatan dari segi perhatian terhadap kawasan Linggi termasuk menerusi pelbagai program bersama penduduk.
“Tokmin rajin datang Linggi. Kalau ada pertandingan memancing atau program, dia mesti datang.
“Dia mudah untuk dipanggil dan bersama dengan rakyat,” katanya.
Sementara itu, Aminuddin berkata kerajaan negeri melihat potensi pelancongan kawasan luar bandar termasuk Kampung Pengkalan Durian untuk dikembangkan sebagai produk pelancongan baharu.
“Keunikan kawasan seperti aktiviti sungai, makanan tempatan serta sumber ekonomi masyarakat setempat mempunyai nilai tarikan yang boleh diketengahkan kepada pengunjung” katanya.
Tambahnya, pembangunan pelancongan setempat bukan sahaja dapat memperkenalkan kawasan berkenaan malah mampu memberi manfaat ekonomi kepada penduduk Linggi menerusi peluang perniagaan dan peningkatan pendapatan.
Dalam pada itu, Bushra berharap pembangunan Kampung Pengkalan Durian dapat dipertingkatkan supaya kawasan itu menjadi destinasi yang lebih dikenali pada masa akan datang.
“Saya harap Tokmin dapat mencantikkan lagi Kampung di Linggi, menaik taraf pembangunan dan jadikan ia tempat pelancongan serta tarikan orang luar” katanya.



