Umry Komited Perjuang Isu Infrastruktur Kampung Orang Asli di Pertang

PERTANG: Isu kemudahan asas seperti bekalan elektrik dan liputan telekomunikasi di perkampungan Orang Asli akan menjadi antara keutamaan untuk diperjuangkan sekiranya Pakatan Harapan (PH) diberi mandat mentadbir selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan.
Calon PH bagi DUN Pertang, Mohd Umry Abdul Khois berkata, sepanjang hampir seminggu tempoh berkempen, beliau bersama pasukan telah menyantuni pelbagai lapisan masyarakat termasuk penduduk di Kampung Orang Asli Ulu Lakai dan Kampung Orang Asli Sawah bagi mendengar sendiri permasalahan yang dihadapi.
Menurutnya, kempen kali ini turut mencatat sejarah apabila berjaya menembusi kedua-dua kampung berkenaan yang sebelum ini tidak pernah menjadi lokasi kempen PH.
“Alhamdulillah, kita diterima baik oleh masyarakat Orang Asli. Malah di Kampung Orang Asli Sawah, kita berjaya membuka Jawatankuasa Daerah Mengundi (JDM) yang kedua dan ada kumpulan masyarakat di sini yang mahu bersama Pakatan Harapan untuk menggerakkan jentera,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media di Kampung Orang Asli Sawah, Pertang, hari ini.
Mengulas lanjut, Mohd Umry berkata, antara aduan utama yang diterima daripada penduduk ialah masalah bekalan elektrik serta liputan telekomunikasi yang masih tidak memuaskan.
Menurutnya, ketika mengunjungi Kampung Orang Asli Ulu Lakai, beliau sendiri mengalami kesukaran mendapatkan liputan telefon, sekali gus menggambarkan kesulitan yang dihadapi penduduk terutama ketika berlaku kecemasan.
“Penduduk memaklumkan mereka berdepan masalah elektrik dan liputan telefon. Apabila kami masuk ke kampung itu, memang tiada talian telefon. Bayangkan jika berlaku kecemasan tetapi mereka tidak dapat menghubungi pihak luar.
“Ini adalah keperluan asas yang perlu diberi perhatian. Kita akan membawa isu ini kepada pihak berkaitan termasuk Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) supaya penyelesaian dapat diusahakan,” tambahnya.
Beliau menegaskan isu melibatkan kebajikan rakyat tidak seharusnya dipolitikkan, sebaliknya perlu diselesaikan segera demi memastikan penduduk luar bandar menikmati kemudahan yang setara dengan masyarakat di kawasan lain.
“Sekiranya diberi mandat, beliau akan mengutamakan penyelesaian isu infrastruktur dan keperluan asas rakyat sebelum melaksanakan pembangunan yang lebih menyeluruh.
“Mana yang boleh kita selesaikan, kita akan selesaikan segera. Kita mungkin tidak mampu menyelesaikan semua masalah, tetapi sekurang-kurangnya kita dapat membantu rakyat menikmati kehidupan yang lebih selesa.
“Apabila keperluan asas rakyat dipenuhi, insya-Allah pembangunan lain akan menjadi lebih mudah untuk dilaksanakan,” ujarnya.
Dalam pada itu, beliau berkata manifesto PH memberi penekanan kepada aspek pendidikan, penyediaan 20,000 unit rumah mampu milik serta penyelesaian isu berkaitan tanah yang disifatkan mampu memberi manfaat kepada seluruh rakyat Negeri Sembilan termasuk komuniti Orang Asli.



