Siti Aishah tekad perkasa ekonomi Gemas, optimis menangi DUN Gemas

GEMAS: Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Gemas, Siti Aishah Seman @ Othman mahu memberi tumpuan kepada usaha memperkasakan ekonomi setempat bagi meningkatkan taraf hidup penduduk sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri.
Beliau berkata, manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan yang dilancarkan oleh Pengerusi Majlis Pakatan Harapan Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun merangkumi pelbagai inisiatif dan insentif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat, daripada bayi, wanita dan golongan dewasa sehingga warga emas.
Namun, menurutnya, Gemas mempunyai cabaran tersendiri yang memerlukan pendekatan khusus, terutama dalam aspek pembangunan ekonomi.
“Manifesto Pakatan Harapan Negeri Sembilan meliputi inisiatif dan insentif untuk golongan bayi, wanita, dewasa sehinggalah warga emas.
“Walau bagaimanapun, cabaran di Gemas berbeza dan kita mesti meningkatkan taraf ekonomi penduduk di sini seiring dengan apa yang terkandung dalam manifesto,” jelas Siti Aishah.
Siti Aishah berkata, keutamaan akan diberikan kepada pertumbuhan ekonomi setempat menerusi penyediaan lebih banyak peluang pekerjaan serta pembangunan infrastruktur yang memenuhi keperluan semasa penduduk.
“Kita mesti mengutamakan pertumbuhan ekonomi setempat, menawarkan lebih banyak peluang pekerjaan dan menyediakan infrastruktur mengikut keperluan dari semasa ke semasa,” ujarnya.

Mengulas pencalonannya sebagai calon PH bagi DUN Gemas, Siti Aishah menyifatkan pemilihan itu sebagai satu amanah besar yang diberikan kepadanya oleh kepimpinan parti.
“Ini adalah kepercayaan daripada pimpinan Keadilan negeri dan pusat mencalonkan saya sebagai calon Pakatan Harapan DUN Gemas.
“Saya menggalas satu tanggungjawab yang besar.
“Insya-Allah, maklum balas daripada pengundi amat memberangsangkan dan saya optimis boleh memenangi kerusi DUN Gemas,” kata Siti Aishah lagi.
Pada Pilihan Raya Negeri kali ini, pertandingan tiga penjuru di DUN Gemas menyaksikan Siti Aishah berdepan penyandang kerusi, Ridzuan Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN), serta Azman Abdullah yang mewakili Bersatu.
Dari segi demografi, DUN Gemas mempunyai komposisi pengundi terdiri daripada Melayu (83.6 peratus), Cina (7.7 peratus), India (4.9 peratus), Orang Asli (0.1 peratus) dan lain-lain (3.8 peratus).




