Berita

Hanya 18 peratus menangguhkan tawaran Haji Musim 1447H, catat penurunan ketara

KUALA LUMPUR: Walaupun Tabung Haji telah membuat pelbagai persediaan, sebahagian pendeposit masih menangguhkan tawaran haji setiap musim.

Bagi musim haji 1447 Hijrah, isu ini menjadi tumpuan apabila kerajaan dan Tabung Haji berusaha memastikan setiap jemaah berdaftar yang layak tidak terlepas giliran mereka.

Menjawab persoalan Ahli Parlimen Port Dickson, Dato’ Seri Aminuddin Harun mengenai cadangan kerajaan untuk memperkenalkan tawaran haji lebih awal mengikut giliran pendeposit bagi memudahkan persediaan dari segi kewangan dan kesihatan, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Marhamah Rosli menjelaskan bahawa Tabung Haji telah mengambil langkah proaktif melalui platform digital THiJARI, yang membolehkan pendeposit menyemak status haji lebih awal serta merancang persediaan mereka secara lebih teratur dan sistematik.

“Tawaran haji secara awal (setahun lebih awal) hanya boleh dilaksanakan setelah kos haji dimuktamadkan dan kuota haji diperoleh yang lazimnya hanya diketahui selepas tamat setiap musim haji,” tambah beliau.

Beliau turut menjawab soalan tambahan berkenaan data terkini jumlah pendeposit yang menolak atau menangguhkan tawaran haji bagi musim 1447H.

“Hanya 18 peratus pendeposit menangguhkan tawaran haji bagi musim ini, menunjukkan penurunan ketara berbanding 50 peratus pada musim haji sebelumnya.

“Daripada jumlah tersebut, 10 peratus menangguhkan kerana simpanan tidak mencukupi, 36 peratus kerana masalah kesihatan, 37 peratus atas urusan peribadi, manakala selebihnya berpunca daripada faktor-faktor lain,” jawab beliau ketika Persidangan Dewan Rakyat bagi Mesyuarat Pertama Penggal Kelima hari ini.

Beliau juga berkata bahawa data ini membuktikan keberkesanan pendekatan Tabung Haji selain mengukuhkan komitmen mereka untuk menambah baik perancangan dan kesiapsiagaan pendeposit agar setiap jemaah dapat memenuhi syarat istito‘ah bagi menunaikan ibadah haji.

Show More

Related Articles

Back to top button