YB Kita

Johan keseluruhan SUKNES 2025, DUN Paroi harum nama kawasan

PAROI: DUN Paroi mencatat satu lagi detik membanggakan apabila muncul johan keseluruhan dalam temasya Sukan Negeri Sembilan (SUKNES) 2025, sekaligus membawa pulang trofi kejuaraan dan hadiah wang tunai sebanyak RM6,000.

Bagi menghargai usaha dan semangat juang para atlet, satu Majlis Makan Malam Sempena Meraikan Pemain-Pemain SUKNES DUN Paroi telah diadakan malam ini bertempat di Klana Resort, Seremban.

Majlis ini disempurnakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, M.K.Ibrahim Abd Rahman merangkap ADUN Angkat DUN Paroi.

Dalam ucapannya, M.K.Ibrahim menzahirkan rasa syukur dan bangga atas pencapaian luar biasa pasukan DUN Paroi yang telah berjaya mengharumkan nama kawasan.

Beliau turut menyifatkan kejayaan ini sebagai bukti bahawa potensi anak muda Paroi mampu digilap ke peringkat yang lebih tinggi
sekiranya diberikan ruang dan sokongan yang berterusan.

“Kejayaan ini bukan hanya kemenangan di padang, tetapi kemenangan semangat, kesungguhan dan kesatuan hati kita semua.

“Inilah bukti bahawa Paroi mampu berdiri gagah dalam apa jua cabaran,” ujar beliau dengan penuh semangat.

Majlis turut diserikan dengan penyampaian hadiah, penyampaian cenderahati kepada pemain serta sesi bergambar kenangan bersama trofi kejuaraan.

Sebagai tanda penghargaan, M.K.Ibrahim turut merakamkan ucapan terima kasih dan tahniah kepada Pusat Khidmat Rakyat Penyelaras DUN Paroi serta seluruh barisan pengurusan, urus setia dan jurulatih yang telah bertungkus-lumus dari awal penyertaan sehingga kejayaan diraikan.

“Komitmen yang ditunjukkan jelas menjadi tulang belakang kepada kejayaan ini.

“Program SUKNES merupakan acara tahunan anjuran Kerajaan Negeri Sembilan yang menghimpunkan penyertaan daripada seluruh DUN di negeri ini, dalam usaha memperkasakan sukan akar umbi serta memupuk semangat kesukanan dan perpaduan dalam kalangan rakyat.

“DUN Paroi akan terus komited mendukung agenda pembangunan belia dan sukan di peringkat komuniti demi masa depan yang lebih gemilang,” kata M.K. Ibrahim lagi.

Show More

Related Articles

Back to top button