Agenda TRAJU angkat kedudukan institusi tahfiz dan pondok Negeri Sembilan

JELEBU: Kunjung Bantu Sekolah Sejahtera Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah diadakan di Madrasah Al-Hikmah, Jelebu sebagai kesinambungan usaha pemerkasaan Agenda Transformasi Anak JUARA (TRAJU) dalam mengangkat institusi tahfiz dan pondok di Negeri Sembilan ke arah pengurusan yang lebih berkualiti, sistematik dan berdaya saing.
Kunjung Bantu ini turut menjadi medium pemantauan dan bimbingan bagi memastikan pengoperasian madrasah berjalan selaras dengan standard yang telah ditetapkan.
Pelaksanaan Penilaian Instrumen Sekolah Islam (INSiS) yang merupakan sebahagian daripada kerangka Sistem Kualiti Pendidikan Islam Negeri Sembilan (SKPiNS) yang telah dilancarkan pada tahun 2021 membuktikan komitmen berterusan JHEAINS dalam memperkasa standard pendidikan Islam.
Penilaian awal yang dilaksanakan sebelum ini merekodkan pencapaian madrasah pada tahap 70.11%, manakala hasil Kunjung Bantu pada hari ini mendapati pihak madrasah telah meningkatkan pencapaian keperluan INSiS.
Perkembangan ini menunjukkan komitmen tinggi pihak pengurusan madrasah dalam memastikan setiap standard yang digariskan bukan sahaja dirancang dengan baik, malah dilaksanakan secara berkesan dalam operasi harian institusi.

INSiS dibangunkan bukan sekadar sebagai instrumen pematuhan yang kelihatan baik di atas kertas, tetapi berasaskan prinsip pengukuran dan penjaminan kualiti yang kukuh.
Standard yang ditetapkan mengambil kira aspek kesahan (validity) bagi memastikan setiap indikator benar-benar mengukur perkara yang sepatutnya dinilai, kebolehpercayaan (reliability) supaya dapatan penilaian adalah konsisten dan boleh diyakini, serta kebolehgunaan (practicality) agar pelaksanaannya bersifat realistik, mudah diaplikasikan dan memberi impak langsung kepada pengurusan serta pengoperasian institusi.
Pendekatan ini memastikan standard yang diwujudkan bukan bersifat teoritikal semata-mata, sebaliknya menjadi pemangkin kepada penambahbaikan sebenar dan budaya kualiti yang berterusan.
Melalui pendekatan kunjung bantu yang berteraskan bimbingan dan pembangunan kapasiti, JHEAINS komited untuk memastikan setiap institusi pendidikan Islam terus bergerak ke arah kecemerlangan dan memenuhi aspirasi melahirkan Anak JUARA yang holistik, berilmu dan berakhlak.

Sumber: JHEAINS



