Berita

Agensi Kerajaan Diminta Lebih Aktif Turun Padang Bantu Usahawan Belia — Anwar

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SENDAYAN: Semua agensi pembangunan usahawan dan institusi kewangan kerajaan lebih agresif turun padang bagi mengenal pasti sendiri keperluan rakyat khususnya usahawan kecil serta golongan belia.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan mendekati rakyat secara langsung lebih berkesan berbanding hanya menunggu permohonan di pejabat.

Ini sekali gus memastikan bantuan, pembiayaan dan program kerajaan benar-benar sampai kepada kumpulan sasar.

“Kementerian dan agensi berkaitan perlu memainkan peranan lebih proaktif dengan turun ke lapangan untuk memahami cabaran sebenar yang dihadapi peniaga kecil dan usahawan muda.

“Mesej saya jelas kepada semua agensi dan institusi kewangan kerajaan, cari jalan turun kepada rakyat. Jangan tunggu mereka datang ke pejabat memohon bantuan,” katanya ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara (HBN) 2026 di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Aminuddin Harun dan Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Menurutnya, kerajaan perlu hadir membantu rakyat termasuk mengenal pasti masalah yang dihadapi peniaga kecil seperti kekurangan modal dan kemudahan perniagaan.

“Kalau ada gerai-gerai kecil di Kuala Lumpur, Seremban atau di mana-mana kawasan, turun jumpa mereka, tanya apa masalah mereka, ada modal atau tidak, kemudahan mencukupi atau tidak. Pihak kerajaan mesti hadir membantu rakyat,” tambahnya.

Show More

Related Articles

Back to top button