
SENDAYAN: Kecekalan Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun dalam mengharungi kemelut politik yang berpanjangan mendapat pujian Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar berkata, Aminuddin menunjukkan semangat dan ketabahan tinggi meskipun berdepan pelbagai serangan serta kritikan politik.
“Jadi saya salut Menteri Besar Aminuddin Harun kerana kecekalan dan semangat yang beliau tunjukkan dalam mengharungi kemelut politik yang tidak berkesudahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Anwar turut menegur budaya politik melampau dan tidak berasaskan ilmu yang menurutnya semakin membimbangkan, khususnya apabila kritikan dibuat tanpa adab serta pertimbangan yang matang.
Beliau berkata terdapat pihak yang sanggup membuat perbandingan keterlaluan dan mendakwa negara berada dalam keadaan hancur tanpa berpandukan fakta serta pemikiran kritis.
“Ini hilangnya pertimbangan idealisme dan pemikiran yang kritis, didorong oleh hawa nafsu tanpa pertimbangan ilmu dan tanpa akhlak.
“Tumpuan negara ketika ini perlu diberikan kepada usaha menyelesaikan masalah rakyat, bukannya perebutan politik berpanjangan.
“Negara kita hadapi masalah, fokusnya masalah rakyat, bukan perebutan,” tambahnya.



