Aminuddin seru belia berani bawa idea baharu

SEREMBAN: Pertubuhan belia merupakan tempat terbaik untuk membentuk kepimpinan dan jati diri anak muda,” kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.
Menurut beliau, di sinilah belia belajar tentang disiplin, pengurusan organisasi, kerja berpasukan dan cara memimpin masyarakat.
“Pengalaman dalam persatuan akan membentuk keyakinan diri dan kematangan yang sangat penting apabila memegang amanah lebih besar pada masa hadapan.
“Sebab itu saya sentiasa percaya bahawa gerakan belia adalah sekolah kepimpinan yang sangat bernilai.
“Majlis Belia Negeri Sembilan juga telah berjaya melahirkan ramai tokoh belia dan pemimpin muda di peringkat kebangsaan.
“Ini membuktikan bahawa anak muda Negeri Sembilan mempunyai potensi besar untuk pergi lebih jauh,” ujar Aminuddin.

Aminuddin berkata, beliau mahu melihat lebih ramai anak muda tampil ke hadapan bukan sahaja dalam politik atau kepimpinan masyarakat, tetapi juga dalam bidang profesional, teknologi, sukan dan keusahawanan.
“Masa depan negeri dan negara ini memerlukan keberanian dan idea baharu daripada generasi muda,” ulas beliau.
Aminuddin berkata demikian di Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di Bandar Sendayan.
Perdana Menteri, Dato’ Seri Anwar Ibrahim merasmikan sambutan ini yang bertema ‘Menggerak Belia MADANI’.



