
SENDAYAN: Budaya pemikiran kritis dalam kalangan anak muda perlu terus diperkukuhkan, namun setiap teguran dan pandangan hendaklah berteraskan ilmu, prinsip serta keutuhan akhlak agar ia mampu menyumbang kepada pembangunan negara secara matang dan membina.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan sentiasa terbuka menerima pandangan serta kritikan daripada golongan muda, termasuk terhadap kepimpinannya sendiri, selagi ia disampaikan atas dasar keyakinan dan prinsip yang jelas.
“Keberanian anak muda untuk berfikir secara kritis merupakan elemen penting dalam pembentukan generasi yang cakna dan berani bersuara, namun ia perlu diseimbangkan dengan adab serta nilai moral.
“Sebab itu saya katakan pemikiran kritis itu harus ada. Dalam beberapa pertemuan, mereka (anak muda) memberi teguran kepada bapa-bapa mereka, malah kepada Perdana Menteri.
“Kita harus terima dengan baik kerana mereka menegur berdasarkan prinsip dan keyakinan.
“Kita mahu anak muda kita berlapang dada menimba ilmu, tetapi prinsip akhlak itu mesti ada,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Sambutan Hari Belia Negara 2026 di sini, hari ini, yang turut menyentuh peranan belia dalam mendepani cabaran semasa negara dan global.
Menurutnya, pelbagai isu yang dibangkitkan oleh pimpinan belia termasuk kadar pengangguran, kos sara hidup serta situasi geopolitik di Selat Hormuz menunjukkan anak muda kini semakin peka terhadap perkembangan nasional dan antarabangsa.
Bagaimanapun, beliau mengingatkan bahawa idealisme belia perlu berasaskan pertimbangan ilmu dan tidak dipengaruhi sentimen melampau atau budaya politik yang tidak sihat.
Meskipun negara mencatatkan pencapaian ekonomi yang memberangsangkan, masih terdapat pihak tertentu yang menafikan fakta pembangunan atas kepentingan politik sempit.
“Saya dengar ada satu pidato, pertama, dia bayangkan saya dengan Abu Jahal. Kedua, dia kata tidak ada pembangunan, kononnya negara dan ekonomi hancur.
“Ini petanda hilangnya pertimbangan idealisme dan pemikiran kritis yang akhirnya didorong oleh hawa nafsu tanpa pertimbangan ilmu serta akhlak. Inilah pesanan saya kepada anak-anak muda,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru agar budaya berlapang dada, semangat musyawarah dan keterbukaan dalam menerima pandangan terus diperkukuh bagi mencari penyelesaian terbaik terhadap isu rakyat.
Dalam masa sama, Anwar turut memuji kepimpinan belia serta Majlis Belia Malaysia (MBM) yang disifatkan berani menyuarakan teguran secara berhemah dan konstruktif demi kepentingan negara.



