Malaysia Tidak Akan Maafkan Jho Low, Tidak Campur Tangan Permohonan Pengampunan Dari Trump – Anwar
Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SENDAYAN: Malaysia tidak akan mempertimbangkan sebarang pengampunan terhadap ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low walaupun Amerika Syarikat (AS) mungkin mengambil pendirian berbeza berhubung permohonan pengampunan yang dilaporkan sedang diusahakannya.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan Malaysia tidak akan terikat dengan sebarang keputusan yang dibuat oleh AS sekiranya negara itu memutuskan untuk memberikan pengampunan kepada individu terbabit.
“Malaysia juga tidak bercadang untuk membantah tindakan Jho Low yang dilaporkan memohon pengampunan daripada Presiden AS, Donald Trump kerana perkara itu berada di bawah bidang kuasa negara berkenaan.
“Tidak, tiada isu… itu keputusan AS. Setakat ini kita tidak akan ke arah itu. Itu urusan AS.
“Kami tidak akan mempertimbangkannya (jika Jho Low memohon pengampunan dari Malaysia),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menghadiri satu program di sini, hari ini, ketika ditanya sama ada Malaysia akan membuat representasi rasmi kepada pihak berkuasa AS bagi membantah kemungkinan pengampunan diberikan kepada Jho Low.
Terdahulu, akhbar kewangan antarabangsa Wall Street Journal (WSJ) pada Selasa melaporkan Jho Low dikatakan sedang mengemukakan permohonan pengampunan kepada Presiden AS dalam tempoh beberapa minggu lalu.
Menurut laporan itu, permohonan berkenaan masih dalam proses dan disenaraikan di laman web Jabatan Kehakiman (DOJ) AS di bawah nama Taek Jho Low.
WSJ turut melaporkan permohonan tersebut dikategorikan sebagai ‘Pengampunan Selepas Tamat Tempoh Hukuman’ (Pardon after Completion of Sentence) yang difailkan pada tahun ini.
Sekiranya permohonan itu diluluskan, ia berpotensi menggugurkan semua pertuduhan jenayah yang sedang dihadapi Jho Low di AS.
Bagaimanapun, seorang pegawai Rumah Putih dilaporkan memaklumkan bahawa permohonan itu ketika ini belum berada dalam perhatian atau radar utama pentadbiran AS.
Jho Low sebelum ini disenaraikan sebagai individu paling dikehendaki susulan dakwaan penglibatannya sebagai dalang utama dalam skandal penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Sejak 2018, beliau menjadi buruan pihak berkuasa antarabangsa dan disenaraikan di bawah Notis Merah Polis Antarabangsa (INTERPOL), namun lokasi sebenar beliau sehingga kini masih belum dapat dipastikan.



