Berita

UEC Tidak Wajar Dipolitikkan, Laluan Ke IPTA Dipersetujui Dengan Syarat

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

SENDAYAN: Pengiktirafan terhadap Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) bagi laluan kemasukan ke institusi pendidikan tinggi awam (IPTA) tidak seharusnya dijadikan polemik politik oleh mana-mana pihak, sebaliknya perlu dilihat dalam konteks memperluas akses pendidikan dengan syarat yang telah dipersetujui.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan berhubung perkara itu telah dipersetujui dalam Mesyuarat Jemaah Menteri, termasuk penetapan syarat wajib lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi pemegang UEC.

Menurut beliau, syarat tersebut dipersetujui selepas sekolah-sekolah Cina menerima ketetapan berkenaan, sekali gus membuka ruang kepada kerajaan untuk mempertimbangkan laluan pendidikan lebih inklusif.

“Dunia sekarang, semuanya nak kaitkan dengan politik. Kenyataan telah dikeluarkan semalam bahawa Kabinet bersetuju dengan syarat pemegang UEC perlu lulus SPM bagi mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah.

“Jadi, kita beri ruang walaupun mungkin memerlukan beberapa kursus perguruan kerana sebelum ini perkara itu tidak dipersetujui. Namun, apabila sekolah-sekolah Cina menerima syarat tersebut, kita turut menerimanya dengan baik,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Sambutan Hari Belia Negara 2026 Peringkat Kebangsaan di sini, hari ini.

Hadir sama Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun.

Anwar berkata, syarat berkenaan tidak hanya terpakai kepada pemegang UEC, malah melibatkan pelajar daripada sekolah agama Arab, sekolah menengah, institusi tahfiz dan sekolah antarabangsa yang melibatkan pelajar Malaysia.

Menurutnya, semua syarat asas ketika ini diterima baik, namun terdapat beberapa perincian yang masih dalam perbincangan sebelum pelaksanaannya dimuktamadkan.

Terdahulu, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz serta Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC)/UEC berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di IPTA.

Langkah itu dipersetujui menerusi keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.

Show More

Related Articles

Back to top button