Berita

Ajaran sesat di Negeri Sembilan dipantau rapi, orang ramai diminta lapor: AMINUDDIN

SEREMBAN: Penyebaran ajaran sesat di Negeri Sembilan terus dipantau secara aktif oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), dengan tindakan penguatkuasaan, pendakwaan serta program pemulihan dilaksanakan secara berterusan bagi membendung penularannya.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, sejak tahun 2020 hingga kini, beberapa ajaran sesat telah dikesan aktif di negeri ini, kebanyakannya bergerak secara tertutup dan menyasarkan individu yang mempunyai asas pengetahuan agama yang lemah.

Menurut beliau, kebanyakan pengikut tidak menyedari mereka telah menyimpang daripada akidah Islam sebenar, manakala sebahagian lain terdiri daripada ahli keluarga yang menyebabkan ada antara mereka enggan memberi kerjasama ketika siasatan atau menarik diri sebagai saksi semasa perbicaraan.

“Jabatan Mufti Negeri Sembilan telah memfatwakan beberapa ajaran sebagai sesat, termasuk Golongan Anti Hadis, Tapediri 65 (Ba Tha Mim 114), Hizbut Tahrir, perbomohan Ibrahim Mat Zin, Zikir Alunan Zat Cinta atau Hikmah Al-Fatihah serta Millah Abraham,” katanya semasa Sidang Media Pasca Mesyuarat Exco di Wisma Negeri.

Beliau berkata, hasil pemantauan mendapati ajaran seperti Millah Abraham yang diasaskan oleh Ahmad Musadeq, Ajaran Cahaya, Ahmadi The Religion serta aktiviti tilik nasib dikesan di beberapa daerah termasuk Tampin, Kuala Pilah dan Seremban, dengan penyebaran berlaku dalam kalangan keluarga atau kenalan rapat.

Tambah beliau, individu yang terlibat telah disabitkan kesalahan oleh Mahkamah Syariah dan dikenakan hukuman denda serta penjara, manakala beberapa kes lain seperti GISBH (Aurad Muhammadiah) dan Ajaran Asmaul Husna masih dalam perbicaraan.

“Sehingga kini, sebanyak 12 kes telah dipanjangkan untuk pendakwaan. Daripada jumlah itu, dua kes (Hizbut Tahrir dan GISBH Kuala Pilah) telah dilepas dan dibebaskan.

“Dua kes (Asmaul Husna Wan maseri dan GISBH Rembau) masih dalam perbicaraan dan lapan kes (dua kes Millah Abraham di Tampin, satu kes Ahmadi The Religion di Seremban, dua kes Tilik Nasib di Seremban, satu kes Imam Mahdi di Seremban dan dua kes Ajaran Cahaya di Kuala Pilah) di sabit kesalahan dan telah dijatuhkan hukuman,” jelas Aminuddin.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata kedudukan Negeri Sembilan yang strategik menghubungkan laluan dari selatan, timur, barat dan utara Semenanjung Malaysia menjadikannya antara lokasi persinggahan kumpulan ajaran sesat selepas dikenakan tindakan di negeri lain.

Dalam usaha pemulihan, beliau berkata JHEAINS turut melaksanakan program advokasi dan bimbingan akidah bagi membantu pengikut kembali kepada pegangan Islam sebenar berasaskan akidah Ahli Sunnah Waljamaah.

“Program ini bukan sahaja menyasarkan individu terlibat, malah turut melibatkan ahli keluarga mereka bagi memastikan kefahaman agama yang betul dapat dipulihkan dan penyebaran dapat dibendung,” ujarnya.

Menurut beliau, sehingga kini lebih 300 individu telah mengikuti program bimbingan dan advokasi yang dianjurkan oleh JHEAINS.

Dalam pada itu, beliau menegaskan peranan masyarakat amat penting dalam membantu pihak berkuasa menangani isu tersebut.

“Orang ramai diminta tampil melaporkan sebarang dakyah atau penyebaran ajaran yang meragukan atau bertentangan dengan akidah Ahli Sunnah Waljamaah demi menjaga kesucian akidah umat Islam di negeri ini,” katanya.

 

Show More

Related Articles

Back to top button