Ajinomoto Negeri Sembilan Jadi Tumpuan Lawatan Industri MITI

SEREMBAN: Lawatan industri di Ajinomoto (Malaysia) Berhad Manufacturing, Negeri Sembilan menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara kerajaan dan sektor industri di samping membuka ruang untuk meninjau perkembangan sektor pembuatan, logistik serta pelaburan di Negeri Sembilan.
Menerusi hantaran di media sosial, Exco Kesihatan, Perpaduan, Penerangan, Integrasi Nasional dan NGO Negeri Sembilan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman, lawatan tersebut bersama Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin bertujuan memperkukuhkan hubungan strategik antara kerajaan dan sektor industri serta memahami perkembangan semasa industri di negeri ini.
“Sektor industri terus memainkan peranan penting dalam memacu pertumbuhan ekonomi negeri serta membuka lebih banyak peluang pekerjaan kepada rakyat.
“Lawatan ini memberi peluang kepada kerajaan untuk memahami secara lebih dekat keperluan industri termasuk cabaran semasa yang dihadapi sektor pembuatan dan logistik.
“Ia juga menjadi platform penting bagi memperkukuhkan kerjasama strategik antara kerajaan dan industri dalam memastikan ekosistem pelaburan negara terus kekal kompetitif dan mampan,” katanya.
Tambahnya, lawatan berkenaan turut disertai sesi libat urus bersama pihak industri bagi membincangkan pelbagai isu berkaitan pembangunan ekonomi, daya saing industri serta usaha memperkukuhkan ekosistem pelaburan negara selaras dengan aspirasi Malaysia MADANI.
Turut hadir, Exco Perindustrian dan Hal Ehwal Bukan Islam Negeri Sembilan merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bahau, Teo Kok Seong, ADUN Chuah, Yew Boon Lye serta ADUN Sri Tanjung, Rajasekaran Gunnasekaran.
Tengku Zamrah menegaskan bahawa kerajaan negeri komited untuk terus menyokong agenda pembangunan industri termasuk menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi ke Negeri Sembilan.
“Kerajaan akan terus komited memastikan agenda pembangunan industri negara diperkasa demi menjamin pertumbuhan ekonomi yang mampan dan berimpak tinggi kepada rakyat,” katanya.



