Negeri Sembilan Sasar Perkukuh Kerjasama Pelancongan Serantau Melalui Misi di Jakarta
Nur Syafiqah Mohd Jemmi
SEREMBAN: Negeri Sembilan melihat potensi besar untuk memperkukuhkan kerjasama pelancongan serantau susulan penyertaan dalam misi promosi pelancongan Malaysia ke Jakarta, Indonesia sempena Tourism Malaysia Sales Mission baru-baru ini.
EXCO Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan, Nicole Tan Lee Koon berkata, peluang itu dimanfaatkan bagi memperluaskan jaringan industri serta meneroka kerjasama strategik antara Malaysia dan Indonesia dalam sektor pelancongan.
Nicole telah menyertai delegasi rasmi Malaysia yang diketuai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing pada majlis makan malam bersama pemain industri pelancongan Indonesia di Jakarta pada 26 April lalu.
“Dalam sesi jaringan industri ini, pelbagai pandangan telah dikongsikan bersama wakil persatuan pelancongan utama Indonesia bagi meneroka peluang memperkukuhkan kerjasama dua hala.
“Perbincangan tertumpu kepada sektor pelancongan budaya, pelancongan pendidikan, pelancongan perubatan selain industri MICE (Meetings, Incentives, Conventions and Exhibitions),” katanya menerusi satu hantaran di media sosial hari ini.
Antara wakil industri yang hadir termasuk Wakil Ketua Umum II DPP/Ketua AKI ASITA, Rocky W. Praputranto; Wakil Ketua Umum Bidang MICE ASTINDO, Hanley Budiman; Wakil Ketua Umum Bidang Inbound dan Domestik, Heben Ezer; Ketua Umum ASPPI, Azwani Awi serta Sekretaris Jenderal ASPPI merangkap Ketua ASPPI DPD Banten, Risang Megandaru.
Menurutnya, Negeri Sembilan mempunyai kelebihan tersendiri untuk diketengahkan sebagai destinasi strategik pelancongan berikutan lokasinya yang berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), selain kemudahan kesihatan dan pendidikan berkualiti.
“Identiti negara ini juga mampu menjadi tarikan utama selaras dengan aspirasi Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan Visit Malaysia 2026 menerusi slogan ‘Jom Teghojah Nismilan’ serta Unique N9,” tambahnya.



