Nicole Tan perkukuh Kerjasama pelancongan Negeri Sembilan di Jakarta

JAKARTA: Exco Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Negeri Sembilan, Nicole Tan Lee Koon menyertai delegasi rasmi Malaysia sempena Tourism Malaysia Sales Mission di Jakarta, Indonesia baru-baru ini yang diketuai Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia, Tiong King Sing.
Dalam lawatan tersebut, Nicole mengadakan pertemuan bersama wakil Travel4All, antara platform pelancongan terkemuka di Indonesia yang mempunyai rangkaian kerjasama dengan kira-kira 360 agensi pelancongan serta mengendalikan platform ‘Mampir Malaysia’ bagi pasaran B2B dan B2C.
Menurut beliau, pertemuan itu membuka ruang positif dalam memperkukuhkan hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia khususnya dalam sektor pelancongan, pendidikan serta MICE (Meetings, Incentives, Conferences and Exhibitions).
“Saya percaya hubungan dan jaringan yang dibina melalui Tourism Malaysia Sales Mission di Jakarta ini akan membantu memperkukuhkan lagi promosi Negeri Sembilan sempena Tahun Melawat Negeri Sembilan 2026 dan Visit Malaysia 2026,” katanya.
Nicole berkata, beliau turut mengambil kesempatan memperkenalkan identiti unik Negeri Sembilan kepada pihak Travel4All termasuk mempersembahkan cenderamata istimewa negeri itu iaitu ‘Bunga Lado’ sebagai simbol warisan budaya dan kreativiti tempatan.
Katanya, pihak Travel4All turut menyatakan minat untuk mengadakan lawatan familiarisation trip (fam trip) ke Negeri Sembilan pada masa akan datang bagi melihat sendiri produk serta pengalaman pelancongan yang ditawarkan di negeri berkenaan.
“Lawatan seperti ini amat penting dalam membantu pemain industri antarabangsa memahami kekuatan Negeri Sembilan sebagai destinasi pelancongan yang unik dan berpotensi tinggi,” katanya lagi.

Dalam perbincangan tersebut, kedua-dua pihak bersetuju bahawa trend pelancongan masa kini semakin menjurus kepada pengalaman berasaskan budaya, pengalaman autentik serta konsep perjalanan berbilang destinasi.
Menurut Nicole, Negeri Sembilan mempunyai kelebihan tersendiri menerusi identiti budaya unik, lokasi strategik berhampiran KLIA, produk gastronomi tempatan, pelancongan kesihatan serta sektor pendidikan yang semakin berkembang.
“Pihak Travel4All juga memaklumkan bahawa mereka kini mula mempromosikan negeri-negeri yang kurang diketengahkan termasuk Negeri Sembilan selain destinasi utama seperti Kuala Lumpur dan Melaka bagi menawarkan pengalaman pelancongan lebih pelbagai kepada pelancong Indonesia.
“Selain sektor pelancongan, aspek pelancongan pendidikan dan program penginapan jangka panjang turut dibincangkan susulan peningkatan minat pelajar Indonesia untuk melanjutkan pengajian serta mengikuti program pembelajaran jangka pendek di Malaysia.
“Peluang kerjasama dalam bentuk pertukaran pelajar, lawatan universiti dan ekspedisi pendidikan mampu membuka segmen pelancongan baharu dalam kalangan generasi muda,” jelas Nicole.
Dalam sektor MICE pula, beliau menegaskan komitmen Kerajaan Negeri dan agensi berkaitan untuk terus menyokong usaha menarik lebih banyak program persidangan, perjalanan insentif dan pameran antarabangsa ke Negeri Sembilan serta Malaysia.
“Kerajaan Negeri akan terus komited memperluaskan kerjasama antarabangsa serta memperkukuhkan promosi pelancongan melalui slogan ‘Jom Teghojah Nismilan’ dan ‘Unique N9’,” ujar beliau.




