Jeti Pengkalan Kempas disahkan selamat digunakan: Faizal

LINGGI: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Linggi, Dato’ Mohd Faizal Ramli telah meninjau keadaan Jeti Pengkalan Kempas susulan aduan berhubung kerosakan kecil pada struktur jeti tersebut yang diterima bulan lalu.
Menurut beliau, aduan berkenaan telah disalurkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Pengkalan Kempas.
“Saya ini merakamkan penghargaan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson kerana bertindak segera menjalankan siasatan terhadap keadaan jeti berkenaan.
“Alhamdulillah, saya telah menerima laporan daripada Pejabat Daerah dan Tanah Port Dickson yang mengesahkan jeti tersebut kukuh dan selamat untuk digunakan,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai khususnya pemancing udang galah boleh terus menggunakan kemudahan itu seperti biasa.



