
SEREMBAN: Menteri Besar, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun mengalu-alukan NGO pencinta anjing dari luar Negeri Sembilan, sekiranya mereka mahu membela anjing liar yang berkeliaran di Negeri Sembilan.
“Kalau NGO pencinta haiwan dari negeri lain kata bilangan anjing liar di negeri mereka berkurangan, ambil lah anjing liar dari Negeri Sembilan, pindahkan ke negeri mereka.
“Saya setuju, sebab semasa demonstrasi di hadapan Wisma Negeri tempohari, ada NGO datang dari negeri Terengganu, Pahang dan Selangor.
“Datang, ambil, bawa dan pindahkan ke negeri mereka. Saya setuju dan sangat mengalu-alukan.
“Jadi kepada NGO-NGO dari negeri-negeri yang datang hari itu ke Negeri Sembilan, saya mengucapkan terima kasih.
“Bawalah anjing-anjing liar Negeri Sembilan ke negeri tuan-tuan dan puan-puan, mungkin anjing liar masih berkurangan di sana, jadi tolong bela,” kata Aminuddin.
Aminuddin berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Anugerah Kebitaraan Akademik SPM 2024 di Klana Resort, Seremban.
Isu anjing liar melibatkan keselamatan awam
Dalam pada itu Aminuddun menyangkal tuduhan kononnya beliau memberi arahan untuk menembak mati anjing liar secara membuta tuli.
“Kita ikut peraturan (SOP), proses dia kalau tangkap anjing kena simpan beberapa hari, kalau NGO atau orang persendirian nak bela, ambil.
“Tapi kalau tak ada orang nak bela, tak kan kita nak lepaskan balik.
“Baru-baru ini ada dua kes orang digigit anjing. Ini isu melibatkan keselamatan awam.
“Kita minta bukan hanya prihatin dengan binatang tetapi juga dengan manusia,” jelas Aminuddin lagi.