Berita

Aminuddin Dikaitkan Bertanding di Kerusi BN di Linggi, Minta Tunggu Pengumuman Calon

SEREMBAN: Spekulasi politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan semakin hangat apabila Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Utama Aminuddin Harun dikaitkan akan bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi yang sebelum ini dianggap sebagai kawasan kuat Barisan Nasional (BN).

Bagaimanapun, Aminuddin menegaskan bahawa perkara tersebut masih belum dimuktamadkan dan sebarang keputusan rasmi berhubung agihan kerusi serta calon yang bakal bertanding akan diumumkan oleh Presiden Pakatan Harapan (PH) pada masa yang sesuai.

Menurut beliau, pelbagai spekulasi mengenai kerusi yang bakal ditandingi termasuk di DUN Labu dan Linggi adalah perkara biasa menjelang pilihan raya.

“Spekulasi itu perkara biasa dalam politik. Semua keputusan berkaitan calon akan diumumkan oleh Presiden Pakatan Harapan apabila tiba masanya.

“Saya sendiri tidak tahu di mana akan bertanding. Esok mungkin di Sikamat, mungkin di Labu. Saya serahkan kepada pimpinan parti untuk membuat pengumuman rasmi,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri satu program rasmi di Seremban, di sini.

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata fokus utama ketika ini adalah memperkukuhkan gerak kerja jentera parti di semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri yang akan dipertandingkan pada PRN akan datang.

Dalam pada itu, beliau turut meminta semua pihak termasuk media supaya tidak membuat sebarang andaian berhubung pembahagian kerusi kerana proses berkenaan masih dalam perbincangan di peringkat kepimpinan tertinggi PH.

Katanya, pengumuman rasmi calon dijangka dibuat selepas Pilihan Raya Negeri Johor, memandangkan penamaan calon bagi PRN Negeri Sembilan berlangsung selepas itu.

“Kita masih ada masa lagi. Penamaan calon Negeri Sembilan pun selepas pilihan raya Johor. Jadi saya harap semua pihak bersabar menantikan pengumuman nama-nama calon yang akan dibuat oleh Presiden Pakatan Harapan,” katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata semua jentera parti perlu memberi tumpuan penuh kepada gerak kerja di lapangan bagi memastikan sasaran kemenangan yang ditetapkan dapat dicapai pada PRN akan datang.

Show More

Related Articles

Back to top button