Inisiatif Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Diperluas Kepada 400 Kampung Seluruh Negara

SEREMBAN: Inisiatif Kampung dan Sekolah Angkat MADANI yang diperkenalkan oleh Kerajaan MADANI terus menunjukkan perkembangan memberangsangkan apabila diperluaskan kepada 400 kampung di seluruh negara pada tahun ini
Menurut Ketua Pengarah Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Dato’ Dr. Roslan Hussin, program berkenaan merupakan cetusan idea Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mula dilaksanakan sejak tahun 2024 dan kini berkembang pesat dari tahun ke tahun.
“Perkembangan inisiatif ini sangat memberangsangkan. Bermula dengan 43 buah kampung pada tahun 2024, ia meningkat kepada 200 buah kampung pada tahun 2025, dan pada tahun 2026 ini diluaskan kepada 400 buah kampung di seluruh negara.
“Kerajaan MADANI telah menyediakan peruntukan sebanyak RM200 juta setahun dengan setiap kampung yang terpilih menerima suntikan dana sebanyak RM500,000,” katanya dalam ucapan pada Majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 yang berlangsung di Kampung Pulau Lambar, Labu, Seremban, di sini.
Tambah Roslan, bagi tahun 2026 juga sebanyak 200 buah sekolah telah dipilih sebagai Sekolah Angkat MADANI, dengan setiap sekolah menerima peruntukan sebanyak RM100,000.
Dalam majlis sama, Roslan turut merakamkan tahniah kepada Kampung Pulau dan Sekolah Rendah Tahfiz Al-Quran Integrasi Al-Irsyad kerana terpilih sebagai penerima inisiatif berkenaan.
Mengulas lanjut, Roslan berkata sebanyak 16 cadangan projek pembangunan telah diangkat oleh jawatankuasa Kampung Pulau merangkumi pembinaan dewan terbuka, gerai jualan, baik pulih pagar masjid, balairaya serta naik taraf kemudahan ICT dan taman permainan kanak-kanak.
Bagi pihak sekolah pula, sebanyak tujuh cadangan projek telah dikenal pasti termasuk baik pulih surau, pembinaan ruang menunggu ibu bapa, pusat sumber, laman tani serta koperasi sekolah.
Roslan turut menekankan agar pelaksanaan semua projek dibuat secara bergotong-royong dengan penglibatan komuniti setempat serta PIBG bagi memperkukuh semangat perpaduan.
“Marilah kita libatkan seluruh lapisan masyarakat dalam menjayakan projek ini agar semangat muafakat terus mekar,” katanya.
Dalam pada itu, Roslan berharap agar kerjasama erat antara agensi kerajaan persekutuan dan negeri termasuk PBT, JKR, JPN serta Jabatan Agama Islam dapat membantu melancarkan pelaksanaan projek-projek tersebut.
“Saya berharap agar jawatankuasa kampung dan pihak sekolah melaksanakan projek dengan penuh ketelusan serta integriti demi manfaat masyarakat setempat” katanya.



