Kampung Pulau dan Sekolah Al-Irshad terima RM600,000 melalui Program Angkat MADANI 2026

LABU: Kampung Pulau dan Sekolah Rendah Tahfiz Al-Quran Integrasi Al-Irshad dipilih sebagai Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di bawah seliaan Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), Pejabat Perdana Menteri, dengan menerima peruntukan keseluruhan RM600,000 bagi tujuan pembangunan komuniti dan pendidikan.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun berkata, pemilihan tersebut merupakan satu pengiktirafan besar kepada komuniti setempat serta bukti komitmen Kerajaan MADANI dalam memastikan manfaat pembangunan sampai kepada rakyat di peringkat akar umbi.
“Kampung Pulau menerima peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas, manakala Sekolah Rendah Tahfiz Al-Quran Integrasi Al-Irshad menerima RM100,000 bagi meningkatkan kemudahan pendidikan dan prasarana pembelajaran.
“Namun bagi saya, nilai sebenar peruntukan ini bukan terletak pada jumlahnya semata-mata.
“Nilai sebenar peruntukan ini terletak pada harapan yang dibawanya kepada masyarakat,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Kampung Pulau, Labu, hari ini.
Menurut beliau, program Kampung dan Sekolah Angkat MADANI terbukti memberi impak positif kepada rakyat berdasarkan kejayaan pelaksanaannya di Kampung Labu Lanjut, Sepang yang sebelum ini menerima 19 projek pembangunan di bawah seliaan AKM.
“Keberhasilan tersebut membuktikan bahawa program ini bukan sekadar simbolik, tetapi benar-benar membawa perubahan kepada kehidupan rakyat,” katanya.
Aminuddin turut memuji peranan AKM yang kini bukan sahaja memupuk kesedaran kenegaraan, malah turun padang mendekati masyarakat dan membantu membangunkan ekosistem komuniti yang lebih baik.
“AKM turun ke lapangan, menyelami denyut nadi masyarakat dan membantu membina ekosistem komuniti yang lebih baik.
“Inilah wajah sebenar sebuah kerajaan yang mendengar, memahami dan bertindak untuk rakyat,” ujarnya.
Aminuddin pada masa sama memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri Sembilan akan memberikan kerjasama penuh bagi memastikan segala perancangan dan projek susulan di bawah program itu dapat dilaksanakan dengan berkesan.
“Bagi pihak Kerajaan Negeri Sembilan, saya memberi jaminan bahawa segala usaha susulan yang dirancang melalui program ini akan mendapat kerjasama dan sokongan penuh daripada kerajaan negeri serta agensi-agensi berkaitan,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata dalam suasana ekonomi dunia yang tidak menentu, kerajaan tetap mengutamakan pelaburan kepada rakyat demi kesejahteraan dan pembangunan negara.
“Dalam keadaan dunia yang berdepan ketidaktentuan ekonomi, kerajaan tetap memilih untuk melabur kepada rakyat.
“Ini membuktikan bahawa kebajikan rakyat bukan sekadar slogan, tetapi menjadi keutamaan dalam setiap dasar dan keputusan kerajaan,” jelas Aminuddin.
Turut hadir, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Penyelaras DUN Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak.




