Berita

Anak Tahfiz perlu kuasai teknologi dan AI

LABU: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun menegaskan keperluan melahirkan generasi ‘Teknokrat Al-Quran’ yang menguasai teknologi, kecerdasan buatan (AI), sains dan inovasi tanpa mengabaikan pegangan terhadap Al-Quran serta nilai-nilai Islam.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Kampung Pulau, Labu, yang turut menyaksikan pemilihan Sekolah Rendah Tahfiz Al-Quran Integrasi (SRTAQI) Al-Irshad sebagai sekolah angkat di bawah program berkenaan.

Menurut beliau, pemilihan sekolah tersebut mencerminkan komitmen kerajaan dalam memperkukuh pembangunan modal insan yang seimbang antara kecemerlangan akademik dan pembentukan sahsiah.

“Kita tidak mahu melahirkan generasi yang hebat dari segi ilmu tetapi miskin nilai dan akhlak.

“Pada masa yang sama, kita juga tidak mahu pelajar institusi agama terpinggir daripada kemajuan teknologi, sains dan ekonomi,” katanya.

Aminuddin berkata Negeri Sembilan memerlukan generasi yang mampu menggabungkan kecemerlangan ilmu moden dengan kekuatan agama bagi memimpin masa depan negeri.

“Saya sering menyebut mengenai keperluan melahirkan generasi ‘Teknokrat Al-Quran’, iaitu generasi yang menguasai teknologi, kecerdasan buatan, sains dan inovasi, tetapi tetap berpaksikan Al-Quran dan nilai-nilai Islam.

“Negeri Sembilan memerlukan generasi seperti ini untuk memimpin masa depan negeri,” katanya.

Beliau turut menyatakan hasrat agar pelajar tahfiz hari ini mampu muncul sebagai profesional dan pemimpin berintegriti pada masa hadapan.

“Kita mahu anak-anak tahfiz hari ini menjadi doktor, jurutera, saintis, pegawai kerajaan, usahawan dan pemimpin masyarakat yang berintegriti.

“Saya menaruh harapan yang besar bahawa daripada sekolah ini akan lahir tokoh-tokoh besar negara pada masa hadapan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Aminuddin memuji konsep Kampung dan Sekolah Angkat MADANI yang menurutnya membawa mesej jelas bahawa pembangunan negara mesti dinikmati oleh seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira lokasi.

Beliau menegaskan bahawa kemajuan sebenar tidak hanya diukur melalui pembangunan fizikal di bandar-bandar besar, sebaliknya melalui peningkatan kualiti hidup rakyat di kawasan luar bandar.

“Tiada kampung yang harus dipinggirkan daripada arus pembangunan.

“Tiada anak yang harus dinafikan peluang untuk berjaya hanya kerana dilahirkan di luar bandar.

“Tiada komuniti yang harus tercicir daripada menikmati hasil kemajuan negara,” kata Aminuddin.

Menurut beliau, semangat Malaysia MADANI menuntut agar kemakmuran negara dikongsi secara adil dan saksama oleh seluruh rakyat.

“Apabila sebuah kampung dibangunkan, yang berubah bukan sekadar jalan raya atau bangunannya.

“Yang berubah ialah keyakinan rakyat, maruah komuniti dan masa depan generasi yang akan datang,” ujar beliau lagi.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Penyelaras DUN Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak.

 

Show More

Related Articles

Back to top button