Berita

Labu berpotensi jadi hab pertumbuhan ekonomi baharu

LABU: Hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan menjadi pemangkin kepada pelbagai kejayaan pembangunan yang dinikmati rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun.

Beliau berkata, kerjasama yang baik antara kedua-dua pihak membolehkan dasar dan inisiatif pembangunan dilaksanakan dengan lebih pantas serta berkesan demi kesejahteraan rakyat.

“Program hari ini turut membuktikan hubungan erat antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sembilan.

“Apabila Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri bergerak seiring, rakyat akan menikmati manfaat yang lebih besar dan segala dasar dapat diterjemahkan dengan lebih cepat dan berkesan,” kata Aminuddin.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI Tahun 2026 di Kampung Pulau, Labu.

Menurut beliau, Negeri Sembilan sentiasa mengamalkan pendekatan kerjasama yang matang dan profesional dengan kerajaan pusat kerana fokus utama pentadbiran negeri adalah memastikan kesejahteraan rakyat terus terpelihara.

“Hubungan yang baik ini menjadi asas kepada pelbagai kejayaan pembangunan yang sedang berlaku di Negeri Sembilan hari ini, sama ada dalam bidang pelaburan, pembangunan infrastruktur, pendidikan mahupun kebajikan rakyat,” katanya.

Aminuddin turut menyifatkan pelaksanaan Program Kampung Angkat MADANI di Mukim Labu sebagai bertepatan dengan agenda pembangunan negeri memandangkan kawasan itu mempunyai kedudukan strategik berhampiran Lembah Klang dan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Katanya, Mukim Labu berpotensi muncul sebagai antara kawasan pertumbuhan ekonomi penting pada masa hadapan.

“Kawasan ini berpotensi menjadi antara kawasan pertumbuhan ekonomi yang penting pada masa hadapan,” ujarnya.

Beliau berkata, dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini, Negeri Sembilan berjaya menarik pelaburan bernilai berbilion ringgit hasil keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik, kecekapan pentadbiran dan kedudukan strategik negeri.

Menurutnya, manfaat pelaburan tidak hanya terhad kepada angka dalam laporan ekonomi, sebaliknya memberi impak langsung kepada kehidupan rakyat.

“Pelaburan yang masuk ke Negeri Sembilan bukan sekadar angka di dalam laporan ekonomi.

“Pelaburan bermaksud peluang pekerjaan kepada anak-anak kita, pendapatan kepada keluarga, peluang perniagaan kepada usahawan tempatan dan limpahan ekonomi kepada rakyat,” ujar Aminuddin.

Sehubungan itu, beliau berkata Kerajaan Negeri komited memastikan pembangunan yang berlaku di kawasan industri dan bandar turut memberi manfaat kepada kampung-kampung tradisi termasuk Kampung Pulau.

“Kita mahu melihat anak-anak yang berjaya dalam pelajaran hari ini kembali berkhidmat di Negeri Sembilan pada masa hadapan.

“Negeri ini sedang berkembang pesat dan memerlukan bakat-bakat terbaik untuk memacu pembangunan masa depannya,” jelas Aminuddin.

Turut hadir, Ahli Parlimen Rasah, Cha Kee Chin dan Penyelaras DUN Labu, Dato’ Ahmad Faez Abdul Razak.

Show More

Related Articles

Back to top button