Berita

Aminuddin rai 284 pelajar cemerlang SPM 2025 Parlimen Port Dickson

PORT DICKSON: Menteri Besar Negeri Sembilan, Dato’ Seri Utama Aminuddin Harun telah meraikan 248 orang pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dalam sebuah Majlis Penyampaian Anugerah Kecemerlangan SPM 2025 Parlimen Port Dickson yang berlangsung di Ballroom d’Tempat Country Club, Bandar Sri Sendayan.

Aminuddin yang juga Ahli Parlimen Port Dickson berkata, majlis berkenaan menjadi penghargaan kepada seramai 284 pelajar yang berjaya mencatat keputusan cemerlang dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

“Di sebalik kejayaan yang diraikan itu, tersimpan pelbagai kisah perjuangan dan pengorbanan pelajar dalam menempuh cabaran sepanjang tempoh pembelajaran mereka.

“Ada yang berjuang dalam kesusahan, ada yang bangkit daripada kegagalan dan ada yang tidak pernah berhenti percaya pada impian mereka.

“Kejayaan ini membuktikan bahawa usaha yang ikhlas dan berterusan pasti akan membuahkan hasil,” katanya.

“Saya juga merakamkan penghargaan kepada Pejabat Pendidikan Daerah Port Dickson, warga pendidik, pentadbir sekolah dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan majlis berkenaan.

“Setiap usaha dan pengorbanan yang dicurahkan oleh semua pihak merupakan sebahagian daripada perjuangan membina masa depan generasi muda,” ujar beliau.

Dalam pada itu, Aminuddin berkata, dunia yang semakin mencabar ketika ini memerlukan generasi muda memiliki ilmu pengetahuan dan kemahiran sebagai bekalan masa depan.

Beliau berharap pelajar di Port Dickson terus melangkah maju, berani menghadapi cabaran serta menjadi generasi yang bukan sahaja cemerlang dalam akademik, malah memiliki nilai, akhlak dan jiwa yang besar.

Show More

Related Articles

Back to top button