Berita

Sistem e-Tanah Negeri Sembilan Akan Dilancar 2028, Ambil Kira Sistem Tanah Adat

Nur Syafiqah Mohd Jemmi

KUALA LUMPUR: Sistem e-Tanah dijangka akan dilancarkan pada tahun 2028 bagi memperkukuh pengurusan tanah negeri secara lebih cekap, bersepadu dan berteraskan konsep digital sepenuhnya.

Pengarah Tanah dan Galian Negeri Sembilan, Mohd Faizal Abdul Manap berkata, pembangunan sistem berkenaan memerlukan penelitian rapi kerana Negeri Sembilan mempunyai sistem tanah adat yang berbeza berbanding negeri lain.

“Ketika ini masih terdapat banyak proses berkaitan tanah yang dilaksanakan secara manual sehingga menyebabkan kelewatan dalam urusan permohonan dan kelulusan.

“Masih ada banyak proses tanah yang manual yang memerlukan pembukaan fail fizikal dan mengambil masa lama untuk diproses.

“Ada permohonan yang mengambil masa sehingga setahun, termasuk urusan pertukaran status tanah daripada pajakan kepada hak milik kekal atau leasehold kepada freehold,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program berkaitan pengurusan tanah negeri di sini, hari ini.

Menurutnya, pada masa ini proses pertukaran status tanah mengambil masa sekitar tujuh bulan, namun menerusi sistem e-Tanah, tempoh itu disasarkan dapat dipendekkan sehingga hanya seminggu.

“Selakn pertukaran status tanah, beberapa lagi modul lain seperti lelong tanah serta urusan serah balik dan bermilik semula tanah turut berdepan tempoh pemprosesan yang panjang ketika ini.

“Semua proses ini ada yang mengambil masa enam bulan hingga setahun untuk diselesaikan,” tambahnya.

Mengulas lanjut, beliau berkata inisiatif e-Tanah itu dijangka membolehkan proses berkaitan tanah dielektronikkan sepenuhnya menerusi sistem berasaskan laman web.

“Melalui inisiatif e-Tanah ini, kita berharap proses berkaitan tanah dapat dilaksanakan secara paperless, lebih cepat dan berkesan

“Pelaksanaan sistem ini juga dilihat sebagai antara pemangkin utama kepada sasaran hasil tanah negeri menjelang 2028.

“Kita menyasarkan hasil tanah negeri ke arah pelan pengurusan kewangan mampan Negeri Sembilan dengan sasaran mencapai kutipan RM1 bilion.

Justeru, inisiatif e-Tanah ini diharap mampu membantu meningkatkan hasil negeri melalui proses pembersihan data hak milik tanah yang ketika ini masih mempunyai pertindihan dan rekod lama yang belum dikemaskini,” katanya.

Terdapat beberapa rekod hak milik yang telah dibatalkan namun masih wujud dalam sistem sedia ada kerana tidak diselaraskan secara menyeluruh.

Sistem e-Tanah itu bakal bertindak sebagai satu sistem induk yang menyatukan pelbagai sistem tanah sedia ada selain membolehkan proses semakan dan pengurusan dilakukan secara dalam talian.

“Sekarang kita masih menggunakan sistem yang dibangunkan sendiri dan menunggu e-Tanah untuk merevolusikan sistem-sistem tersebut supaya menjadi satu platform induk yang lebih menyeluruh,” ujarnya.

Antara kelebihan utama sistem itu ialah keupayaannya untuk diintegrasikan dengan pelbagai jabatan serta agensi lain termasuk Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia, Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta serta Jabatan Pendaftaran Negara.

Integrasi itu dijangka akan memudahkan perkongsian maklumat antara agensi selain mempercepatkan urusan berkaitan pemilikan dan pengurusan tanah di negeri berkenaan.

Show More

Related Articles

Back to top button